Sebanyak 65,189 Permohonan Bantuan Khas COVID-19 Diterima Kerajaan Sehingga 6 Disember 2021

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerima sebanyak 65,189 permohonan Bantuan Khas Covid-19 sehingga 6 Disember lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 55,184 permohonan telah diproses dan 22,336 permohonan diluluskan membabitkan RM28.6 juta.

“Bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 pula, daripada 24,305 permohonan yang diterima, 14,818 permohonan telah diproses dan 11,816 permohonan telah diluluskan melibatkan bantuan sebanyak RM59.08 juta.

“Tiada peruntukan khusus pada tahun 2022 daripada kerajaan bagi bantuan ini kerana ia menggunakan Tabung Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang menerima sumbangan daripada orang ramai, entiti korporat, institusi diraja dan anggota pentadbiran,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan statistik terkini permohonan dan kelulusan Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Pengurusan Covid-19 di bawah pengurusan Nadma serta berapakah peruntukan kerajaan untuk dua bantuan ini bagi tahun 2022.

Mastura menambah, sehingga kini, kerajaan telah memberi sumbangan awal berjumlah RM61 juta dan jika berlaku gelombang seterusnya kerajaan akan menambah dana bagi menampung keperluan.

“Saya juga ingin memaklumkan sekiranya terdapat permohonan bantuan ini dalam kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang masih belum dihantar, mohon supaya dapat dikemukakan terus kepada saya,” jelasnya.

Leave a Reply