Penyanyi M Nasir Positif COVID-19

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya selepas disahkan positif COVID-19.

Berita sedih berkenaan disahkan isterinya, Datin Marlia Musa ketika dihubungi BH Online.

“Ya benar, Datuk M Nasir positif COVID-19. Suami sekarang sedang berehat dan menjalani proses kuarantin di rumah,” katanya.

Marlia berkongsi, suaminya dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas menjalani ujian sebanyak dua kali.

Berikutan itu, Marlia dan anaknya, Suci Musalmah turut melakukan ujian dan keputusan diperoleh, negatif.

“Kami selalu buat kit ujian kendiri COVID-19 di rumah. Suami melakukan ujian kerana secara kebetulan, sepatutnya berada program di Pesta Buku Selangor, semalam.

“Ujiannya positif. Kami terus buat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan keputusannya pagi ini turut positif. Bagaimanapun, saya, anak dan pembantu rumah bebas COVID-19.

“Namun, kami tetap menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat suami,” katanya.

Tambah Marlia, dia tidak tahu dari mana punca jangkitan berkenaan.

“Tak tahulah dari mana suami dapat virus ini,” katanya.

Ekoran itu, Marlia berharap orang ramai mendoakan kesembuhan buat suaminya.

“Insya-Allah, doakan kesembuhan suami dengan segera,” katanya.

Menerusi tinjauan BH, M Nasir mahupun isterinya tidak berkongsi mengenai jangkitan berkenaan dalam laman sosial.

Leave a Reply