Korea Selatan Tak Pernah Timbang Laksana Boikot Diplomatik Terhadap Olimpik Musim Sejuk Beijing

Hebahkan !!!

CANBERRA: Presiden Moon Jae In pada Isnin berkata Korea Selatan tidak mempertimbangkan boikot diplomatik Sukan Olimpik Beijing dan tidak pernah diminta oleh mana-mana negara untuk berbuat demikian.

Moon menyebut mengenai isu itu buat kali pertama selepas Amerika Syarikat minggu lalu mengumumkan ia tidak akan menghantar delegasi rasmi ke Sukan Olimpik pada Februari kerana kebimbangan mereka terhadap pencabulan hak asasi manusia China.

“Kerajaan Korea Selatan tidak mempertimbangkan (boikot),” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia Scott Morrison selepas rundingan sidang kemuncak dua hala di Canberra, Australia.

“Berhubung boikot diplomatik Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, kami tidak diminta oleh Amerika Syarikat atau mana-mana negara lain untuk menyertai (boikot),” kata Moon seperti dilaporkan agensi berita Yonhap.

Keputusan Washington menyebabkan Seoul berada dalam kedudukan yang sukar kerana ia berusaha untuk mengimbangi hubungannya dengan sekutu terbesarnya dan hubungan perdagangan rapatnya dengan Beijing.

Boikot itu juga menjejaskan harapan Seoul untuk menggunakan Sukan Olimpik sebagai tempat untuk perdamaian antara Korea, seperti semasa Sukan Olimpik PyeongChang 2018, dan mungkin mengisytiharkan penamatan rasmi Perang Korea 1950-53.

Leave a Reply