Bank Negara Malaysia Didapati Tidak Melaksanakan Ketekunan Wajar Secukupnya

Hebahkan !!!
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) didapati tidak melaksanakan ketekunan wajar secukupnya dalam pembelian sebidang tanah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata perolehan tanah dengan butiran geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) itu dibuat melalui bidang kuasa BNM dan Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata, penjualan Tanah Lot 41 kepada BNM oleh kerajaan melalui Syarikat Tujuan Khas (SPV) Hartanah Mampan Sdn Bhd, dilakukan menerusi dua transaksi, dengan sela tempoh setiap satunya selama 12 hari pada Disember 2017.

“Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat oleh BNM pada 19 Disember 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Disember 2017 (RM1.035 bilion).

“Hasil jualan itu digunakan untuk tujuan pembayaran menerusi pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Disember 2017.

“PAC mendapati BNM tidak pernah merancang untuk membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh MOF.

“Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017, walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah bagi membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Memperincikan hasil rumusan prosiding, Kah Woh berkata, Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli Tanah Lot 41 dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017 dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan kementerian sama pada 21 Ogos 2017.

Katanya, transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat, iaitu empat bulan, justeru ia membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan.

“Harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co, adalah tinggi.

“Penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berdasarkan status hak milik sedia ada, iaitu kategori kegunaan tanah ‘Tiada’, syarat nyata “Tiada” dan pengezonan institusi dengan nisbah plot 1:2, adalah sebanyak RM1.421 bilion.

“Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status kategori kegunaan tanah daripada ‘Tiada’ kepada ‘Bangunan’ dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu,” katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan, Kah Woh berkata, PAC mengutarakan dua syor kepada kerajaan untuk dilaksanakan, iaitu kemampuan BNM untuk membuat keputusan berkait pelaburan dan pembangunannya dengan bebas, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Selain itu, beliau berkata, BNM harus segera menyelesaikan isu penukaran kategori kegunaan tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41.

“Rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan Tanah Lot 41 perlu dimuktamadkan,” katanya.

Leave a Reply