Ada Peniaga Dikesan Jual Tauhu Dengan Harga Mahal

Hebahkan !!!

KLANG: Tindakan seorang peniaga dipercayai menjual tauhu dengan harga tidak munasabah di sebuah premis di Sepang mengundang padah apabila dikenakan tindakan, baru-baru ini.

Perkara itu dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sepang yang melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sekitar minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima aduan mengenai harga tauhu yang didakwa mahal di premis berkenaan.

Katanya, semakan awal mendapati peniaga itu turut gagal mengemukakan dokumen urus niaga belian sayur berkenaan daripada pembekal.

“Justeru, KPDNHEP mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Peniaga itu diarah hadir ke Pejabat KPDNHEP Sepang untuk mengemukakan maklumat lanjut,” katanya ketika meninjau pelaksanaan SHMKM di Pasar Awam Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Jelas Mohd. Zawawi, kesalahan berkaitan tauhu yang bukan barang kawalan di bawah SHMKM itu masih dalam proses siasatan.

“Ia setakat ini hanya berlaku melibatkan peniaga itu dan tidak secara menyeluruh.

“Namun, pemantauan sama akan turut dilakukan di semua daerah lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 652 premis sudah diperiksa sepanjang tujuh hari pelaksanaan SHMKM di negeri ini bermula 7 Disember lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga memberi kerjasama dan berada pada pematuhan yang baik.

“Kita mengharapkan pematuhan itu konsisten demi manfaat pengguna dan peniaga,” katanya.

KPDNHEP sebelum ini menyenaraikan 12 barangan kawalan harga bagi skim itu iaitu ayam, telur ayam dan enam sayuran mulai 7 hingga 31 Disember depan.

Selain ayam dan telur gred A hingga C, ia melibatkan kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, timun dan kobis bulat.

 

Leave a Reply