Najib masih aset Umno, parti pun sayangkan beliau, kata Nur Jazlan

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak dilihat masih memiliki pengaruh dalam kalangan rakyat dan menjadi aset kepada Umno, kata Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan Ketua Umno Johor itu turut berharap Najib dapat terus membantu parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Katanya, bekas Presiden Umno itu masih memiliki pengaruh yang kuat selain disukai rakyat dan kelebihan itu perlu digunakan parti bagi menghadapi PRU15.

“Secara efektifnya, Najib tidak dapat lagi bertanding pada PRU15 berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, namun saya berharap beliau akan terus bantu parti menghadapi pilihan raya.

“Najib masih ada pengaruh kuat dalam kalangan rakyat dan beliau masih aset parti. Umno pun sayangkannya dan seharusnya beliau terus diberi peranan berkhidmat dan membantu parti,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rabu lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak membabitkan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan itu.

Mengulas mengenai langkah Umno mengekalkan Najib akan memakan diri dan mencalarkan imej parti, Nur Jazlan menafikan perkara itu dan mengatakan ramai pihak mendakwa perbicaraan 1MDB sebagai berbaur politik.

“Keputusan mahkamah itu tidak bermakna rakyat akan tolak Najib kerana beliau masih aset kepada Umno.

“Bagi saya tidak salah untuk menggunakan pengaruh Najib sebagai penguat dan penyokong parti,” katanya.

Leave a Reply