4 pelajar suspek kes buli ditahan di IPD Kuala Kangsar

Hebahkan !!!

Empat pelajar yang juga suspek kes buli rakan setingkatan di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, ditahan polis, kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata, keempat-empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, antara pukul 6 hingga 7 petang.

“Empat pelajar telah ditahan petang tadi untuk siasatan lanjut,” katanya menurut laporan Kosmo.

Terdahulu Mior Farid memberitahu, kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau berkata, kesemua lapan pelajar terbabit, termasuk seorang mangsa telah dikenal pasti dan mereka dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Katanya, turut dipanggil untuk dirakam percakapan ialah pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian itu.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati kejadian itu berlaku semalam antara pukul 1 hingga 2 pagi melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan hari ini ekoran penularan video pergaduhan yang mendapat perhatian ramai,” katanya.

Terdahulu, dalam video berdurasi 10 saat, tular di media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama. Ia dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Leave a Reply