KKM Akan Menguatkuasakan Akta Pergigian Baharu Berkuatkuasa 1 Januari

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan Akta Pergigian 2018 [Akta 804] mulai 1 Januari depan bagi menggantikan Akta Pergigian 1971 [Akta 51] yang digunapakai sejak 50 tahun lalu bagi mengawal selia amalan dalam bidang pergigian.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Akta 804 memperuntukkan penubuhan Majlis Pergigian Malaysia dan Lembaga Juruterapi Pergigian Malaysia, pendaftaran doktor pergigian dan juruterapi pergigian, pengawalseliaan amalan pergigian dan perkara berkaitan.

Katanya, akta itu yang mengandungi sembilan Bahagian dan 104 seksyen mensyaratkan hanya pengamal yang berkelayakan, berwibawa dan profesional akan didaftarkan dan layak untuk memberi perkhidmatan pergigian.

“Dengan ini, kualiti perkhidmatan pergigian dan keselamatan pesakit adalah terjamin, serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan pergigian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, selaras perkembangan amalan dan teknologi dalam bidang pergigian, suatu akta baharu yang mempunyai bidang kuasa yang lebih luas dan peruntukan yang merangkumi semua aspek amalan pergigian terkini diperlukan.

Antara peruntukan baharu dalam Akta Pergigian 2018 adalah Peperiksaan Kelayakan Profesional (Professional Qualifying Examination) bagi tujuan pendaftaran sebagai doktor pergigian, pendaftaran pakar pergigian dan juruterapi pergigian, keperluan pengumpulan mata Pembangunan Profesional Berterusan (Continuing Professional Development-CPD) dan Perlindungan Tanggung Rugi Profesional (Professional Indemnity Cover) bagi permohonan perakuan pengamalan (practicing certificate) dan penguatkuasaan dalam amalan pergigian.

Bagaimanapun katanya, peruntukan berkenaan hanya akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

Leave a Reply