Di Riyadh, Unta Pun Disuntik Botox Untuk Cantik

Hebahkan !!!

RIYADH: Demi merebut hadiah wang tunai AS$66 juta (RM277.99 juta), pemilik unta sanggup melakukan ‘pembedahan kecantikan’ dan menyuntik botox ke atas ternakan mereka.

Tindakan itu supaya unta mereka lebih cantik, sekali gus berpeluang memenangi pertandingan ‘ratu cantik unta’ yang menjadi acara tahunan popular Arab Saudi.

Bagaimanapun, Saudi Press Agency (SPA) pada Rabu melaporkan penganjur Festival Unta Raja Abdulaziz mengetatkan syarat pertandingan termasuk menolak penyertaan 40 unta yang ditambah baik dan disuntik botox.

Juri pertandingan itu yang berlangsung sebulan di padang pasir timur laut Riyadh turut menggunakan teknologi khas dan lebih terkini untuk mengesan penipuan.

Mereka memilih unta tercantik berdasarkan bentuk kepala, tengkuk, bonggol, postur badan semula jadi dan aksesori.

Tahun ini, pihak berkuasa mengesan perubahan pada hidung dan bibir terhadap puluhan unta, dengan ternakan itu disuntik hormon untuk menguatkan otot selain botox pada kepala dan bibir agar kelihatan lebih besar.

Terdapat unta yang badannya lebih berisi kerana tambahan lain.

“Penganjur bersungguh dalam menghentikan sebarang bentuk penipuan dalam mencantikkan unta,” lapor SPA yang menambah hukuman tegas, penalti akan dikenakan kepada pesalah.

Pertandingan unta tercantik adalah acara utama bagi karnival besar-besaran itu yang turut membabitkan perlumbaan unta, jualan dan aktiviti festival lain.

Program bertujuan mengekalkan peranan unta dalam tradisi dan warisan kerajaan Badwi.

Leave a Reply