Dek Ancaman Varian Omicron, Dagangan Bursa Malaysia Dibuka Rendah

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal urus niaga Jumaat apabila kebimbangan baharu mengenai varian Omicron COVID-19 yang menjuruskan kepada sekatan pergerakan serta kelemahan Wall Street mengheret turun pasaran global.

Pada 9.25 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.66 mata kepada 1,500.13 berbanding 1,501.79 pada penutupan petang Khamis.

Indeks utama dibuka 0.14 mata lebih rendah pada 1,501.65.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 244 berbalas 161 manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,620 tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 338.56 juta unit bernilai RM159.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, kebimbangan mengenai varian Omicron masih ada dengan United Kingdom melaksanakan sekatan baharu untuk menghalang lonjakan penularan kes COVID-19.

“Namun begitu, kami percaya aktiviti memperelok akaun akhir tahun mungkin muncul dalam masa terdekat dalam kalangan saham wajaran tinggi.

“Di pasaran komoditi, harga minyak jatuh 1.85 peratus, tetapi berlegar melepasi paras US$74, manakala pasaran minyak sawit mentah meneruskan kerugian,” katanya dalam satu nota.

Ia menambah sektor pengangkutan dijangka menarik perhatian peniaga berikutan pemulihan permintaan pasaran sejajar dengan peningkatan pada Baltic Exchange Dry Index.

Bagi saham wajaran tinggi, Press Metal susut tujuh sen kepada RM5.45, Axiata turun tiga sen kepada RM3.81, Nestle merosot 90 sen kepada RM131.40, Public Bank lega satu sen kepada RM3.98, dan Digi lemah dua sen kepada RM4 .10.

Bagaimanapun, MR DIY naik lima sen kepada RM3.55 dan IHH menokok dua sen kepada RM6.59.

Saham-saham aktif pula, Malaysian Genomics turun 13 sen kepada 69 sen, Industronics dan Widad naik setengah sen masing-masing pada 13.5 sen dan 38.5 sen, Impiana Hotels dan Iconic Worldwide masing-masing menambah satu sen kepada 10 sen dan 33 sen, manakala Fintec Global kekal pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.33 mata kepada 10,940.50, Indeks FBMT 100 turun 13.46 mata kepada 10,641.12, dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 9.63 mata kepada 11,831.76.

FBM 70 jatuh 24.57 mata kepada 14,150.91 dan FBM ACE susut 29.93 mata kepada 6,252.15.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.92 mata kepada 193.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 13.46 mata kepada 15,151.67, manakala Indeks Perladangan meningkat 9.00 mata kepada 6,504.00.

Leave a Reply