Tidak Sampai 24 Jam Simbah Cat Sudah Ditangkap Polis

Hebahkan !!!

KOTA TINGGI: Seorang lelaki dipercayai ahli sindiket simbah cat pinjaman wang tidak berlesen ditahan tidak sampai 24 jam selepas melakukan perbuatan itu di Taman Kota Jaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersabit kejadian berkenaan.

Katanya, pengadu berusia 31 tahun membuat laporan kira-kira pukul 1 pagi selepas rumah dan kenderaan miliknya disimbah cat merah sebagai amaran kerana tidak membayar pinjaman wang yang dibuat olehnya melalui Facebook pada awal tahun 2019.

“Hasil risikan dan operasi dilakukan telah menangkap seorang lelaki berumur 31 tahun di Bandar Desa Cemerlang kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Susulan penahanan itu, polis merampas dua buah kereta, tiga unit kad ATM, satu unit telefon bimbit, sebuah tin cat dan peralatan menyimbah cat semasa tangkapan dijalankan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai menjalankan kegiatan menyimbah cat di rumah mangsa-mangsa yang gagal menjelaskan wang pinjaman di sekitar Johor sejak akhir bulan lau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply