Kesedaran Untuk Bayar Zakat Individu 25 Tahun Ke Atas Masih Rendah

Hebahkan !!!

SHAH ALAM: Kesedaran mengeluarkan zakat khususnya zakat harta bagi penduduk dewasa Islam berusia 25 tahun ke atas di Selangor disifatkan masih rendah, kata Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd Fikri Naim Harun.

Beliau berkata, pihaknya mendapati 50 peratus daripada individu yang layak mengeluarkan zakat, tetapi tidak berbuat demikian berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Sehubungan itu, katanya, LZS sedang giat menjalankan kempen menggunakan medium media sosial dalam memastikan usaha berkenaan sampai kepada golongan sasar.

“Mengikut data laporan Digital 2021 Malaysia menerusi datareportal.com, kelompok ini menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium paling tinggi, perkhidmatan e-dagang Shopee serta ejen carian Google dan pihak kami sedang memfokuskan pada medium itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun LZS menyediakan pelbagai platform bagi memudahkan pembayaran zakat, termasuk 23 pusat pembayaran di seluruh negeri dan secara dalam talian, usaha lain masih perlu digembleng untuk mendorong golongan yang layak melaksanakan perkara ketiga dalam Rukun Islam itu.

“Masih ramai lagi masyarakat Islam yang belum tahu kadar sebenar peratusan pembayaran zakat dan LZS akan menggiatkan semula Kempen My2.5 yang dilancarkan pada tahun lalu.

“Ia bertujuan untuk menanam kefahaman dalam kalangan rakyat Selangor hanya 2.5 peratus daripada pendapatan individu jika cukup nisab mereka wajib berzakat. Walaupun zakat hanya 2.5 peratus tapi jumlah itu besar untuk asnaf,” katanya.

Muhd Fikri berkata, kutipan zakat keseluruhan di Selangor sehingga Oktober lalu menyaksikan peningkatan kira-kira sembilan peratus dan penambahan bilangan pengeluar zakat sebanyak tujuh peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“LZS turut menyasarkan kutipan zakat melebihi RM900 juta sepanjang tahun ini dengan jumlah kutipan pada tahun lalu RM913 juta.

Leave a Reply