Gambar Anak Anjing “Terkentut” Keluar Buih Menang Anugerah

Hebahkan !!!

LONDON: Seekor anak anjing baka Labrador hitam menjadi penerima anugerah komedi ulung selepas pemiliknya menangkap gambar buih besar seolah-olah kentut haiwan itu.

Pepper menjadi pilihan juri untuk Anugerah Gambar Komedi Haiwan Peliharaan 2021 dengan foto lucunya bertajuk Whizz Pop.

Gambar itu menunjukkan Pepper ketika berusia sembilan minggu sedang bermain buih di taman apabila satu buih besar terapung di bahagian punggungnya ketika ia dirakam. Ia seolah-olah menunjukkan anjing itu terkentut dan mengeluarkan buih sabun.

Pemenang tidak hanya membawa pulang £2,000 (RM11,198.91) tetapi sokongan badan kebajikan haiwan, Animal Support Angels.

Pemilik Pepper, Zoe Ross berkata, dia menyertai pertandingan itu disebabkan sukakan idea membantu badan kebajikan dengan hanya menghantar gambar lucu haiwan peliharaan.

Mengenai hadiah kemenangan itu, Zoe berkata mahu mendermakan sebahagian kepada badan amal selain menggunakannya untuk keperluan anjing kesayangan.

Pertandingan Gambar Komedi Haiwan Terbaik dianjurkan Paul Joynson-Hicks dan Tom Sullam untuk meraikan peranan positif haiwan peliharaan dalam kehidupan harian manusia.

Mereka bekerjasama dengan syarikat insurans haiwan Animal Friends, untuk membantu mengumpul dana buat badan kebajikan, Animal Support Angels.

Leave a Reply