Abdul Hadi Berpendapat UMNO Dan Pas Tidak Akan Lengkap Tanpa Bersatu

Hebahkan !!!
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

SHAH ALAM – UMNO dan Pas tidak akan lengkap serta mencapai tujuan asal perpaduan bangsa dan agama tanpa kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan Pas, malahan Bersatu yang merupakan parti besar.

“Hari ini kita di Malaysia berjaya menyatukan umat melalui pendekatan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). Permulaannya dengan perpaduan Islam dan Melayu serta bumiputera dengan gagasan MN.

“Seterusnya mengumpulkan tiga buah parti Melayu terbesar bersama rakan-rakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyempurnakan usaha menukar kerajaan secara demokrasi berparlimen.

“Kemudian bergerak ke arah penyelesaian masyarakat majmuk, maka mestilah diikuti oleh penyertaan daripada kalangan parti bukan Melayu dan bukan Islam dengan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas yang dikongsi di Facebook beliau pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keanggotaan MN tidak terhad kepada UMNO dan Pas ataupun Bersatu sahaja kerana Malaysia bukan hanya merangkumi kelompok Melayu dan Islam.

Jelasnya, ia mestilah juga meliputi seluruh masyarakat majmuk termasuk golongan bukan Islam dan bukan Melayu.

Selain itu, mengulas mengenai punca perpecahan antara tiga parti itu, beliau mengharapkan agar orang ramai dapat mengenali golongan perosak perpaduan umat dan tidak terpengaruh dengannya.

Leave a Reply