Sesi Soal Jawab Lisan Babitkan Isu Doktor Kontrak Hangat Di Parlimen

Hebahkan !!!
Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika di Dewan Rakyat, Parlimen.

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini hangat dengan isu doktor berstatus kontrak apabila Ahli Parlimen Kulai (PH-DAP) Teo Nie Ching mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) gagal mencapai matlamat terutamanya dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan unjuran keperluan doktor mengikut rancangan lima tahun di mana pada tahun 2025, seorang doktor adalah untuk 400 rakyat.

Kenyataan itu membuatkan Nie Ching tidak begitu berpuas hati dan terus ‘mengasak’ Noor Azmi berhubung isu tersebut.

“Saya nak tanya, pada masa sama, kita ada hartal doktor kontrak yang mana ramai doktor itu tidak dapat kontrak, tidak dapat jawatan mereka.

“KKM gagal untuk mencapai satu matlamat yang ditetapkan pada tahun 2020,” kata Nie Ching.

Noor Azmi kemudian membalas: “Saya pun sedih tengok cara dia tanya soalan, berulang-ulang dan menyebabkan keresahan dan ‘anxiety’ kepada Yang Berhormat lain. Macam mana nak capai matlamat kalau macam itu.

“Yang pentingnya kita ada matlamat dan bila kita ata matlamat, kita akan berusaha. Seperti mana saya terangkan tadi, kita ada lima perkara yang kita kaji dan perkara ini adalah dinamik, bergantung kepada apa berlaku di hospital, negeri-negeri dan daerah-daerah.

“Kita dah tetapkan dan sekarang ini rancangan lima tahun, dalam RMK-12, 1 bersamaan 400 doktor. Jadi sekali lagi saya nak sarankan, yang pentingnya kita ada matlamat dan kita tetap mencari satu matlamat untuk kita usahakan,” katanya.

Nie Ching yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu terus bangun mencelah:

“Matlamat tidak dicapai, itu masalahnya. Buat apa kita ada matlamat tetapi tiada langkah untuk pastikan kita capai matlamat tersebut,” katanya.

Begitupun, ketegangan itu reda selepas Datuk Seri Ahmad Maslan (BN – Pontian) bangun dan bertanya soalan tambahan kepada Noor Azmi.

Leave a Reply