Semua Loji Memproses Ayam Di Thailand dan China Untuk Eksport Ke Malaysia Diiktiraf JAKIM

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan semua loji memproses ayam di Thailand dan China bagi mengeksport keratan dan daging ternakan itu ke Malaysia adalah masih sah dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata terdapat sembilan loji ayam yang diluluskan untuk mengeksport daging ayam dan keratan ayam di negara Thailand dan dua di negara China.

Mengulas lanjut beliau berkata, senarai loji di laman sesawang JPV dikemaskini dari semasa ke semasa dan loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji itu di laman sesawang JPV untuk makluman pihak berkepentingan.

“Sehubungan itu, JPV mengesahkan semua loji ayam yang disenaraikan di laman sesawang JPV adalah masih sah untuk mengeksport ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat sebuah video yang tular di media sosial yang menampilkan seorang penceramah bebas mendakwa loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia sudah tamat tempoh dan tidak halal.

Pada masa sama, Norlizan berkata, JPV memandang serius dakwaan dalam video berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan penceramah bebas terbabit.

Beliau berkata, Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti

penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu Majlis Pusat Islam Thailand dan Perkhidmatan Pensijilan Halal Shandong di China adalah masih sah tempoh pengiktirafan oleh JAKIM sehingga 31 Disember 2023.

“Justeru orang awam diingatkan supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Veterinar untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan perkara yang berkaitan sahih sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi, ” katanya.

 

Leave a Reply