Pelarian Rohingya Saman Facebook AS$150 Bilion

Hebahkan !!!

Pelarian Rohingya mengemukakan saman terhadap Facebook sebanyak AS$150 bilion (RM634.21 bilion) atas dakwaan rangkaian sosial itu gagal membendung ucapan berunsur kebencian di platformnya, yang memburukkan lagi keganasan ke atas minoriti yang ditindas itu.

Saman itu difailkan di sebuah mahkamah di California semalam, yang mendakwa algoritma yang memberi kuasa kepada syarikat yang berpangkalan di AS itu mempromosi maklumat yang salah dan pemikiran ekstremis, yang diterjemahkan kepada keganasan sebenar.

“Facebook seperti robot yang diprogram dengan satu misi: untuk berkembang.

“Realiti yang tidak dapat dinafikan adalah perkembangan Facebook, didorong oleh kebencian, perpecahan dan maklumat salah, yang menyebabkan penderitaan kepada ratusan ribu rakyat Rohingya,” demikian menurut dokumen mahkamah.

Kumpulan yang kebanyakannya Islam itu berdepan diskriminasi yang meluas di Myanmar, di mana mereka dipandang hina sebagai penceroboh walaupun sudah tinggal di negara itu selama beberapa generasi.

Kempen yang disokong tentera, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembunuhan beramai-ramai itu menyaksikan ratusan ribu rakyat Rohingya dihalau merentasi sempadan ke Bangladesh pada 2017, di mana mereka tinggal di kem pelarian yang besar.

Ramai lagi daripada etnik itu yang kekal di Myanmar, di mana mereka tidak diberikan kewarganegaraan dan berdepan keganasan serta diskriminasi oleh junta tentera yang memerintah.

Hujah bagi saman itu menyatakan, algoritma Facebook mendorong pengguna untuk menyertai kumpulan yang lebih ekstrem, satu situasi yang ‘terbuka kepada eksploitasi oleh ahli politik dan rejim autokratik’.

Kumpulan hak asasi manusia sudah sekian lama menuduh Facebook tidak melakukan yang secukupnya untuk menghalang penyebaran maklumat salah termasuk secara dalam talian.

Pengkritik mendakwa, walaupun sudah dimaklumkan mengenai ucapan berunsur kebencian di platformnya, syarikat itu gagal bertindak.

Leave a Reply