Tujuh MoU Perkasa Bumiputera Dimeterai Bangunkan Rantaian Bekalan Dengan Kerjasama Strategik

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR : Sebanyak tujuh memorandum persefahaman (MoU) utama membabitkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan rakan strategiknya dimeterai pada majlis Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

MoU pertama membabitkan TERAJU dengan Petronas Dagangan Bhd (PDB), iaitu inisiatif Mesra Mart di bawah ekonomi gig.

Inisiatif itu untuk membangunkan rantaian bekalan Bumiputera melalui kerjasama strategik di antara TERAJU dan PDB bagi meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera di dalam ekosistem kedai Mesra PETRONAS.

Mou kedua adalah dengan Microsoft Malaysia melalui program ‘Jobs For The Future’ bagi meningkatkan kebolehpasaran 1,000 graduan Bumiputera melalui pensijilan profesional dalam bidang pekerjaan masa hadapan berteraskan IR4.0 seperti jurutera data, pakar kecerdasan buatan (AI), pakar realiti maya dan lain-lain.

Seterusnya kerjasama strategik di antara TERAJU, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Brainy Bunch dalam menaiktaraf kualiti pendidikan pra-sekolah untuk anak-anak asnaf dan B40 dengan kadar berpatutan.

MoU keempat membabitkan kerjasama dengan Yayasan Sabah dalam membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah untuk mempromosi dan memasarkan produk keluaran negeri itu ke pasaran antarabangsa.

MoU kelima pula membabitkan kerjasama di antara TERAJU, Sarawak Digital Economic Corporation, Serba Digital X dan Tuyang Initititiave melalui program digital ‘Borneo Startup Accelerator’.

Program ini bertujuan membantu usahawan Bumiputera B40 dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu serta berkemahiran tinggi.

MoU keenam ialah Program Kolaborasi Industri (ICP) di antara TERAJU dan Technology Depository Agency (TDA) bagi memperkasa perniagaan Bumiputera dalam perolehan kerajaan dengan memfokuskan penyertaan Bumiputera dalam projek dan sektor berimpak tinggi.

MoU terakhir adalah dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi memperkasa usahawan Bumiputera melalui peningkatan kapasiti dan keupayaan modal insan dan perkongsian data.

 

Leave a Reply