Polis Cari Individu Bertindak Sebagai “Marshal” Kawal Lalu Lintas Ala Polis Trafik

Hebahkan !!!
Seorang lelaki bertindak mengarahkan kereta untuk ke tepi seperti seorang anggota trafik padahal hanya Marshal kepada satu konvoi. Dia sedang dikesan pihak polis.

PORT DICKSON – Polis Diraja Malaysia sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal memberi arahan kepada kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan sebagaimana video tular di laman sosial Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, video berdurasi tiga minit itu memaparkan sekumpulan konvoi motosikal berkuasa tinggi.

Menurutnya, rakaman tersebut menunjukkan aksi marshal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan.

“Ia bagi membenarkan sekumpulan lebih kurang 20 buah motosikal berkuasa tinggi melalui laluan tersebut.

“Dalam rakaman tersebut dipercayai konvoi berkenaan bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Aidi Sham berkata, pihak polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam rakaman tersebut.

“Kami menyeru kepada mana-mana yang memiliki maklumat kejadian untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke pihak siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson di talian 06 6472222,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967, Sekyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (halangan lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59(Kaedah 12(3)(A)- (Kesalahan di garisan berkembar).

“Seseorang marshal tidak dibenarkan memberi apa jua arahan bagi tujuan menahan atau memberhentikan kenderaan atau melencong kehadiran tanpa kehadiran mana-mana pegawai polis.

“Pihak polis tidak berkompromi dengan mana-mana ahli kumpulan yang berlagak sebagai polis trafik dalam mengawal lalulintas yang mana boleh mendatangkan bahaya dan menyekat hak-hak bergerak di jalan awam,” katanya.

Leave a Reply