Pelantikan anak Shahrizat sebagai Pengarah MDEC dipertikai

Hebahkan !!!

GEORGE TOWN: Pelantikan Izzana Salleh, anak bekas menteri persekutuan, Shahrizat Abdul Jalil dalam Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan pelanggaran etika, kata peguam dan aktivis.

Izzana dilaporkan dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MDEC berkuat kuasa 1 Dis lalu, walaupun beliau dinamakan dalam saman kerajaan untuk menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation Sdn Bhd. Beliau ialah ahli lembaga pengarah NFC ketika itu.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, tidak wajar agensi kerajaan melantik individu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan pihak berkuasa persekutuan.

“Sangat salah untuk kerajaan tak tetapkan pendiriannya. Satu cabang kerajaan mendakwanya, manakala satu lagi memberinya jawatan pengarah.

“Kes itu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika keputusan memihak kepadanya, tiada masalah melantiknya sebagai pengarah,” katanya kepada FMT.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pelantikan itu bertentangan tadbir urus baik dan mewujudkan persepsi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mula mengambil individu ada kaitan politik secara beramai-ramai.

“Dari segi tadbir urus baik, ia tidak kelihatan baik untuk MDEC. Ia memberi persepsi cara lama sudah kembali sejak Umno ambil alih semula tampuk pemerintahan.”

Ahli akademik, Terence Gomez berkata, ia satu lagi petunjuk GLC “digunakan secara tidak wajar” dengan melantik individu yang dinamakan dalam saman persekutuan.

“Apabila kerajaan menekankan untuk mewujudkan ekonomi digital berkembang maju, ini bukan masanya untuk pelantikan dalam MDEC yang dipertikaikan.”

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, pelantikan pengarah GLC perlu dibuat selepas usaha wajar yang ketat dilakukan bagi memastikan pemimpinnya bertanggungjawab serta bersih.

Jurucakapnya, Alissa Rode berkata, proses penapisan pelbagai pihak perlu dilakukan bagi mengelakkan senario di mana jawatan dilihat sebagai keputusan politik atau bergaji buta semata-mata.

Muhammad Mohan daripada Transparency International berkata, walaupun Izzana dilihat cukup layak untuk jawatan itu, dia sepatutnya menolak pelantikan itu kerana disaman kerajaan.

Bagaimanapun, peguam Kitson Foong berkata, pelantikan Izzana tidak menyalahi undang-undang, malah Suruhanjaya Syarikat hanya boleh membatalkan pelantikannya, jika beliau melanggar undang-undang atau tidak dibenarkan mahkamah untuk memegang jawatan pengarah.

Izzana turut dilaporkan memegang jawatan Pengarah dalam TalentCorp dan ahli panel pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Izzana bersama bapanya, Mohamad Salleh Ismail dan dua beradiknya disaman kerajaan dan perbicaraan kes itu dijangka disambung bulan depan.

FMT cuba menghubungi MDEC dan Izzana untuk mengulas.

Leave a Reply