Kerjasama UMNO, Pas: Wanita UMNO NS serah pada persidangan

Hebahkan !!!

SEREMBAN – Wanita UMNO Negeri Sembilan menyokong apa sahaja keputusan parti itu berhubung status kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang akan diputuskan pada persidangan UMNO bahagian yang mula bersidang pada 18 Disember ini.

Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Lateffah Ali berkata, yakin keputusan itu nanti adalah yang terbaik buat UMNO selepas mengambil kira pandangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan bersidang pada 11 dan 12 Disember ini.

“Ahli dan pemimpin peringkat akar umbi UMNO sebenarnya terguris dengan tindakan Pas ini, namun biarlah keputusan akhirnya ditentukan dalam persidangan itu kelak.

“Keputusan itu nanti turut mengambil kira kejayaan kita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini yang menunjukkan kemampuan kita ditahap mana, namun ia bukanlah sebagai tiket untuk bermegah-megah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan status kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) akan ditentukan oleh 191 bahagian parti itu yang mula bersidang pada 18 Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persidangan kali ini cukup penting bagi masa depan MN sebelum Perhimpunan Agung UMNO berlangsung selama tiga hari bermula 13 Januari depan.

Jelasnya, buat masa ini tiada kata akhir diputuskan parti terhadap MN selepas Pas memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding MN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Hal yang demikian adalah kerana UMNO masih lagi berpegang pada janji iaitu keputusan perhimpunan agung tahun lepas yang mahu MN diperkuatkan.

Sehubungan itu, kerjasama ini tidak boleh diubah selagi Perhimpunan Agung UMNO belum bersidang.

Leave a Reply