BN tak benar mana-mana pihak guna lambang dacing dalam PRN Sarawak, kata Tok Mat

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan lambang dacing yang sinonim dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Dis ini.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Mohamad Hasan, BN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika terdapat parti politik atau individu menggunakan lambang berkenaan.

Mohamad berkata ia berikutan parti itu secara rasmi tidak akan menyertai PRN Sarawak atas semangat persahabatan akrab dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak dahulu lagi.

“Saya dan rakan-rakan daripada BN dan Umno semalam sudah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Abang Johari Openg bagi menyatakan sokongan kepada GPS pada PRN Sarawak kali ini.

“Kami juga menyatakan secara rasmi bahawa BN tidak akan bertanding pada PRN kali ini dan tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan lambang dacing yang selama ini menjadi simbol kami,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini yang turut disertai Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Ahmad Maslan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata BN juga tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mendapat sokongan parti itu.

“Selain GPS, kita tidak ada parti yang mesra BN di Sarawak, jadi kita tidak membenarkan sesiapa guna lambang dacing dan laporan akan dibuat kepada SPR jika ada pihak menggunakannya.

Terdahulu, Mohamad membuat kunjungan hormat kepada Abang Johari Openg, yang juga Pengerusi GPS.

“In sha Allah, GPS akan dapat mengekalkan kemenangan demi ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ rakyat Sarawak,” katanya di Facebook.

Semalam, GPS menyenaraikan 24 muka baharu, termasuk seorang wanita, selain mengekalkan sejumlah penyandang pada PRN kali ini.

Menurut Abang Johari, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan calon-calon akan dilatih dan didedahkan kepada politik ala Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 6 Dis untuk penamaan calon, 14 Dis untuk pengundian awal, dan 18 Dis untuk hari pengundian.

Leave a Reply