Guru ‘tidak sihat’ dibenar mengajar sebelum disahkan Covid? soal ibu pelajar Seri Puteri

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Ibu kepada seorang pelajar di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya mendakwa guru yang dilaporkan sebagai pencetus wabak Covid-19 di sekolah itu terus mengajar walaupun “seperti tidak sihat”, sebelum disahkan positif Covid-19.

Bercakap kepada FMT, beliau yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, anaknya memaklumkan bahawa guru terbabit memberi amaran tegas agar semua pelajar tidak menanggalkan pelitup muka ketika sesi pembelajaran.

Wanita itu berkata, anaknya adalah antara pelajar Tingkatan 1 di sekolah berkenaan yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“Anak (saya) ada maklumkan yang cikgu berkenaan pesan semua pelajar sentiasa pakai ‘mask’.

“Cikgu itu juga memakai dua lapis ‘mask’, (dan) seperti tidak sihat. Kebiasaannya hanya satu lapisan. Anak (saya) kata, tak tahulah kenapa cikgu cakap (pesan) macam tu,” katanya.

Beliau berkata, kronologi kes bermula apabila anaknya dan pelajar Tingkatan 1 lain diarah kuarantin susulan guru berkenaan “dikhuatiri positif” selepas menunjukkan simptom ketara.

Wanita itu memperoleh maklumat daripada anaknya selepas dihubungi menerusi telefon awam.

Pada 22 Nov, guru terbabit disahkan positif Covid-19. Semua pelajar yang menjadi kontak rapat dengan guru dan pelajar kelas dikuarantin.

Pelajar dua kelas Tingkatan 1 dan tiga kelas Tingkatan 4 terlibat dalam proses isolasi. Ketika ini, semua saluran komunikasi dengan warden asrama tidak dibenarkan malah penggunaan telefon awam juga dilarang.

Antara 24 hingga 28 Nov lalu, seorang lagi guru dan enam pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 1 pula disahkan positif Covid-19.

Kalangan ibu bapa dilaporkan kesal pihak sekolah tidak memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa pelajar yang dikuarantin atau positif.

Mereka hanya sedar anak mereka positif ujian RT-PCR melalui aplikasi MySejahtera.

Wanita itu memberitahu FMT, pada 30 Nov lalu, anaknya bersama rakan lain di asrama menjadi kontak rapat kepada pelajar positif.

Mereka terus dikuarantin dan memakai gelang merah jambu. Semua pelajar di asrama berkenaan menjalani ujian RTK-Antigen dan semua keputusan negatif.

Pada 1 Dis, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang menjalankan saringan terhadap semua 240 pelajar yang akan dihantar pulang ke rumah.

Sejumlah 66 daripada mereka disahkan positif dan dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS.

Pada 2 Dis, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan sebanyak 65 kes baharu Covid-19 dikesan selepas proses saringan diteruskan hari ini.

Bercerita lanjut, wanita itu berkata, beliau kesal pengurusan sekolah lewat memaklumkan keadaan terkini situasi penularan Covid-19 di sekolah sehingga mencetuskan gelombang penularan yang lebih buruk.

Katanya, pihak sekolah hanya mengemaskini gambar dan maklumat anak mereka pada hari kedua kuarantin di aplikasi Telegram dan selepas itu tiada maklumat terbaru.

“Sepatutnya pihak sekolah benarkan anak-anak pegang telefon masing-masing untuk senang kami berhubung, bukannya melarang terus komunikasi dengan ibu bapa.

“Pihak sekolah juga tidak memaklumkan sebarang maklumat mengenai kes terbaru di dalam sekolah, (sehingga)…ibu bapa yang (terpaksa) kerap menghubungi sekolah untuk dapatkan ‘update’,” katanya.

Malah katanya, pelajar yang dikuarantin juga tidak dipantau dengan rapi dan warden asrama hanya “menjenguk” keadaan pelajar sekali sehari.

Katanya, anaknya kini sudah dikuarantin di bilik isolasi selama 11 hari tanpa sebarang simptom, tetapi masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

Beliau berkata, kuarantin di sekolah dengan pemantauan longgar menjadi kebimbangan ibu bapa sepertinya.

“Daripada kuarantin dekat sekolah yang kurang pemantauan, baik dia kuarantin di rumah. Biar ibu bapa sendiri yang jaga. Ibu bapa dah maklumkan nak ambil anak untuk jaga, tapi sekolah tak benarkan.

“Anak (saya) maklumkan pemantauan tidak begitu ketat dan tiada yang mengawasi cuma pelajar tidak boleh keluar dari kawasan dorm,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan “membisu” pihak sekolah dalam menyampaikan maklumat tepat kepada ibu bapa sehingga menimbulkan kerisauan dan prasangka tidak baik tentang tahap kesihatan anak-anak.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam komuniti sekolah selepas proses saringan dilakukan ke atas semua kakitangan dan pelajar sehingga 3 Dis.

Setakat ini, jumlah keseluruhan individu yang disaring sehingga jam 3 petang tadi adalah seramai 946 orang membabitkan 849 pelajar, 59 guru dan 38 petugas manakala jumlah kumulatif kes positif yang dikesan ialah 139 orang iaitu 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas.

Sementara itu, Menteri Kanan (Pendidikan), Radzi Jidin selepas meninjau perkembangan sekolah berkenaan malam tadi, mengesahkan penularan Covid-19 di Sekolah Seri Puteri berpunca daripada seorang guru di sekolah itu.

Leave a Reply