Kelebihan Yang Tidak Lagi Menjadi Kelebihan Kepada UMNO

Hebahkan !!!

Oleh Nas Abdullah

Saya masih lagi merasa pelik dan sedikit kesal dengan apa yang berlaku kepada parti kita. Bukan niat untuk membesarkan isu tetapi perkara ini tidak harus berlaku untuk sebuah strategi dan sebuah perancangan yang seharusnya menjadi kelebihan kepada kita sebagai parti yang menerajui sebuah kerajaan.

Sebelum ini kita bertekad menumbangkan seorang Perdana Menteri dari BERSATU sehingga hampir sahaja mewujudkan perpecahan dua kumpulan besar dalam parti UMNO. Sekarang kita telah ada kelebihan itu apabila Perdana Menteri datangnya dari parti UMNO. Walau mungkin tidak banyak tapi pasti ada kelebihan kepada UMNO dalam sebuah kerajaan campuran dalam perkongsian kuasa itu.

Dalam soal tarikh pilihanraya tidak seharusnya ada desakan terbuka dari mana-mana pihak terutama pimpinan tertinggi atau dari kalangan pemain media dari UMNO. Sebelum ini tarikh pilihanraya merupakan kunci utama kepada strategi parti kerajaan untuk menentukan bila waktu yang paling sesuai untuk diadakan pilihanraya tersebut yang akhirnya akan memberikan kelebihan kepada parti pemerintah.

Situasinya mudah. Sebagai contoh jika Perdana Menteri sebelum ini iaitu DS Najib Razak yang mewakili UMNO sebagai pemimpin tertinggi kerajaan ketika itu yang berhak menentukan bila tarikh pilihanraya yang akan menjadi kelebihan kepada UMNO dan ada satu desakan terbuka dari Timbalan Presiden parti atau dari Naib-Naib Presiden parti atau satu kenyataan terbuka dari ahli Majlis Tertinggi secara lantang mendesak untuk PRU segera diadakan. PASTI PELIK KAN?? Pasti orang yang mendesak itu diserang bertubi-tubi dari pelbagai sudut.

Apa pandangan orang ramai atau ahli-ahli dibawah? Pasti ada yang menganggap “si penegur” atau “pendesak” ini bermasalah dan ada masalah dengan DS Najib sebagai Perdana Menteri. Orang akan melihat antara pemimpin ini pasti tidak sebulu dan tidak sehaluan. Benda yang sama berlaku hari ini. Cuma situasinya sedikit berlainan bila Perdana Menteri DS Ismail Sabri bukan Presiden tetapi Naib Presiden dan pendesak pula Timbalan Presiden.

Apakah kedudukan Timbalan Presiden yang lebih atas dari Naib Presiden tidak membenarkan satu rundingan atau perbincangan tertutup dalaman parti boleh  berlaku? Apakah Timbalan Presiden tidak ada ruang untuk berjumpa Perdana Menteri yang sentiasa berbincang dengan Penasihat Parti DS Najib dan sentiasa merujuk keputusan-keputusan penting kepada Presiden Parti DS Zahid Hamidi dan sentiasa berbincangan dengan kalangan Biro Politik parti.

Untuk apa desakan terbuka? Tidak adakah ruang perbincangan biro politik parti? Tidak adakah mesyuarat Top Five yang selalu berlaku untuk keputusan-keputusan segera bersifat makluman kepada parti?

Satu strategi yang ada tidak lagi menjadi kelebihan kepada UMNO/BN bila suiz utama dibincangkan secara terbuka dan dijadikan desakan terbuka untuk popularkan diri sendiri yang dipertontonkan kepada ahli  sendiri dan kepada musuh seolah mencerminkan Timbalan Presiden UMNO ada masalah dengan Perdana Menteri? Atau Timbalan Presiden merasakan Perdana Menteri sebagai pencabar kepada kedudukan beliau atau jawatan yang akan beliau tandingi selepas ini?

Belum sampai masanya untuk golakkan parti dengan popularkan diri sendiri. Berbeza dengan kenyataan Presiden parti berkaitan isu yang sama dimana Presiden lebih menjelaskan cara pembubaran parlimen pasti akan melalui beberapa proses penting untuk pertimbangan dan pertimbangan parti pasti mengambil tempat dalam menentukan tarikh penting tersebut. Presiden juga menjelaskan bahawa Perdana Menteri pasti akan membawa inspirasi parti dan suara parti akan menjadi teras kepada keputusan Perdana Menteri. Itu merupakan kenyataan yang ditujukan kepada pembangkang yang telah meletakkan satu jangkamasa khusus untuk PRU tidak dilaksanakan dan bukan menentukan atau mendesak PRU dilakukan. Ianya jelas berbeza dengan desakan dari Timbalan Presiden.

Justeru , kita mengharapkan jangan ada pemimpin yang mencetuskan sebarang kontroversi yang akhirnya menterjemahkan sesuatu yang tidak elok kepada UMNO. Perdana Menteri mewakili UMNO dan sebarang keputusan penting sudah pasti akan dibuat melalui proses2 parti yang telah berlaku sebelum ini dan tidak pernah walau sekali Perdana Menteri membelakangkan parti dalam menerajui negara.  Beliau membawa imej UMNO dan seharusnya beliau mendapat sokongan penuh rakan dan sahabat kepimpinan parti dan bukannya desakan terbuka yang jelas tidak ada kelebihannya.

Bijaklah wahai pemimpin ku. Kami ahli dibawah penat dengan pergeseran antara pemimpin yang telah terbukti melemahkan parti. Jangan hanya kerana agenda peribadi parti dirosakkan dan dilemahkan. Parti itu milik setiap ahli dan kami juga ada hak menegur dan memberikan pandangan kami.

Tidak salah dengan teguran saya. Ini sahaja medium dan platform yang kami ada. Teguran kami tidak menjadi desakan terbuka seperti desakan pemimpin-pemimpin besar. Luahan hati kami hanya sekadar satu bentuk pandangan yang jika olek pakai lah dan jika tak elok abaikan sahaja. Tapi kami ahli di bawah sentiasa melihat dan menilai tahap kebijaksanaan pemimpin kami untuk kami jadikan petunjuk kepada kami satu ketika nanti.

#UMNOMemimpin
#DuluKiniSelamanya

Nas Abdullah

Leave a Reply