Mahkamah tetapkan tarikh baru sebutan kes dadah pelakon, pengarah

Hebahkan !!!

KUALA KANGSAR – Kes memiliki dadah membabitkan pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama dua lagi individu yang juga pengarah dan penolong pengarah akan disebut semula Januari depan.

Majistret Mahkamah Kuala Kangsar, Mohd Shazmeer Zamhari pada Rabu menetapkan 10 Januari 2022 sebagai sebutan semula selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi serahan laporan kimia.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa dalam tempoh sebulan untuk penyediaan laporan kimia itu.

Dalam prosiding berkenaan, ketiga-tiga mereka iaitu Muhamad Niezam, 29, pengarah, Mohd Latiff Zami, 49, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 47, hadir ke mahkamah.

Mereka tiba di mahkamah pada jam 9 pagi.

Pada 12 Oktober lepas, di mahkamah sama ketiga-tiga mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Muhamad Niezam mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.15 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira jam 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.30 gram dadah jenis kanabis dan 0.38 gram dadah jenis methamphetamine di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 manakala Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta sama.

Sabit kesalahan Saiful Zaidrin boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut membenarkan Muhamad Niezam diikat jamin RM3,000 manakala Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing diikat jamin RM2,600 dan RM3,200.

Pada 10 Oktober lepas, ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar yang bertindak atas maklumat pada jam 7.15 pagi.

Pemeriksaan di tiga bilik di rumah tersebut menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah manakala seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Leave a Reply