Tubuh pasukan cari calon pegawai, anggota polis terbaik

Hebahkan !!!

ISKANDAR PUTERI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan untuk menubuhkan satu pasukan pencari bakat atau ‘talent scout’ bagi memastikan pengambilan pegawai dan anggotanya pada masa depan merupakan mereka yang benar-benar layak, berminat dan terbaik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu sebagai persiapan awal dalam menyedia dan memastikan kualiti perkhidmatan PDRM setaraf di peringkat antarabangsa malah menjadi contoh kepada dunia.

“Asas utama kekuatan PDRM adalah anggotanya, kalau kita hendak pertingkat sudah tentu kita perlu tarik minat mereka untuk bersama-sama dengan PDRM, biar yang memohon sebagai pegawai atau anggota adalah mereka yang terpilih.

“Saya minta kalau boleh, ada ‘talent scout’ diwujudkan oleh PDRM dan dimulakan di peringkat sekolah menengah. Kita mahu mereka yang benar-benar mahu menjadi polis, bukan lagi mereka yang melihat kerjaya ini sebagai pilihan terakhir.

“Melalui ‘talent scout’ ini, saya yakin pengambilan anggota boleh ditambah baik dengan mengambil kira aspek modal insan melibatkan ‘soft skills’, ’emotional intelligence’ dan ‘tech savvy’, ini yang kita mahu,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada Isnin.

Turut hadir Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Kerja Raya Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Mohamad Zulkefly.

Hamzah berkata, selain cadangan itu termasuk pembangunan aspek fizikal dan infrastruktur, aspek latihan buat pegawai dan anggota polis di negara ini juga perlu diberikan tumpuan.

“Latihan yang hendak diberi itu perlulah latihan yang boleh bersaing dengan polis luar negara, kita mahu PDRM menjadi setaraf dengan polis ‘Scotland Yard’ atau polis Hong Kong yang biasa kita dengar kisah kejayaan mereka.

“Insya-ALLAH, saya percaya dengan kepimpinan Ketua Polis Negara, kita akan mampu mempertingkatkan PDRM ke satu taraf membanggakan di peringkat dunia,” ujarnya.

Leave a Reply