Saksi beritahu tiada unsur rasuah pada Ahmad Zahid: Peguam

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan tiada unsur rasuah pada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata demikian ketika hujahan di akhir pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Presiden UMNO itu.

Menurutnya, saksi-saksi itu menyatakan cek yang diberikan kepada firma guaman, Lewis & Co yang juga pemegang amanah yayasan adalah untuk amal kebajikan serta sumbangan politik.

Isu yang paling utama katanya, saksi mengakui ia bukan rasuah atau menyatakan ‘ya, saya beri rasuah kepada Ahmad Zahid yang juga pengasas firma guaman itu’.

Malah beliau berkata, transaksi cek sebagaimana yang dipertuduhkan telah diaudit melalui auditor dalaman dan luar.

“Ia adalah transaksi secara terbuka, bukan rahsia dan tiada apa yang meragukan mengenainya.

“Semua pembayaran adalah melalui transaksi cek yang mana ia boleh dirujuk atau diperiksa menerusi laporan perbankan juga boleh dikesan,” katanya.

Hisyam berkata, mahkamah tidak perlu memanggil Ahli Parlimen Bagan Datuk untuk membela diri terhadap lapan kes rasuah yang dipertuduhkan kerana bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah tidak jelas.

Menurutnya, tuduhan yang dikenakan adalah kabur dan tidak boleh berdiri dengan sendiri.

“Ada kelompongan dalam kes pendakwaan dan sehingga hari ini masih tidak dijelaskan.

“Kami dengan yakin menyatakan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid,” katanya.

Sebelum prosiding bermula di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, pihak pembelaan memohon kepada mahkamah agar hujahan akhir diadakan dalam sesi pagi sahaja.

Ini kerana Ahmad Zahid dijadualkan untuk menerima suntikan penggalak petang ini.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding bersambung pada Selasa.

Leave a Reply