Amanah terbuka kerjasama dengan Umno untuk tumbangkan kerajaan negeri PAS

Hebahkan !!!

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah membayangkan persefahaman antara gabungan itu dengan Umno boleh dibentuk bagi menyekat PAS memenangi kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kamarul berkata persefahaman tersebut boleh dibentuk dalam mencatur kerusi PRU15 nanti.

“Walaupun kita dengan Umno tidak di bawah payung sama tapi perbezaan kita tak begitu tajam. Kita tak serang Umno, Umno pun tak serang kita,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

“Saya rasa kita dengan Umno ada kelebihan, kita boleh berkomunikasi, dan mungkin ada peluang persefahaman untuk kita memberi tumpuan fokus dalam kerusi tertentu.”

Katanya, PH Terengganu sukar untuk “berbincang” dengan PAS, berbanding dengan Umno biarpun mereka berbeza pendapat.

Kamarul yang juga seorang ahli Dewan Negara merupakan pengerusi Amanah Terengganu, parti komponen PH yang merupakan serpihan daripada PAS.

Amanah ditubuhkan pada 2015 selepas mengambil alih Parti Pekerja Malaysia, selepas pemimpin-pemimpin utamanya kalah dalam pemilihan parti dan menggunakan alasan PAS bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14, PAS memenangi 22 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu sekali gus mengambil alih pentadbiran negeri dari BN dengan majoriti dua pertiga.

Bagaimanapun, PH gagal mendapat sebarang kerusi malahan 19 calonnya hilang deposit.

Bagi kerusi Parlimen, PAS memenangi enam kerusi Parlimen, sementara PH gagal memenangi sebarang kerusi bahkan tiga calonnya kehilangan deposit.

Manakala Umno menang dua kerusi di Hulu Terengganu dan Besut.

Dalam pada itu, Kamarul menjelaskan persefahaman yang boleh dilakukan itu bukan sebuah persefahaman dalam bentuk kerjasama rasmi.

“Ada ruang duduk berbincang dan bertolak ansur. Keutamaan Umno sekarang ini asalkan bukan PAS dan kepentingan kita pun sama, kerana PAS ini merosakkan Terengganu.

“Kita ada persamaan nak menyelamatkan Terengganu ini daripada PAS, ada matlamat.

“Kalau kita bertembung (kerusi) pun tak akan ada pertembungan yang sengit,” katanya.

Leave a Reply