Dos penggalak mungkin syarat lengkap vaksin selepas ini, kata Khairy

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan penerima dos penggalak vaksin Covid-19 akan diletakkan sebagai syarat lengkap vaksinasi, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, perkara berkenaan masih dalam pertimbangan pakar memandangkan wujud risiko gelombang baharu seperti kemunculan varian Omicron, penurunan efikasi vaksin dalam badan penerima, serta sikap leka rakyat selepas menerima dos kedua.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, kerajaan masih mengiktiraf individu menerima dua dos sebagai penerima lengkap vaksinasi.

Katanya, penilaian juga akan dimuktamad selepas melihat dan menilai pengalaman negara-negara lain yang telah melaksanakan langkah terbabit.

“Sama ada kita akan buat keputusan kalau tak ambil dos penggalak kira tak lengkap vaksinasi itu kita sedang kaji pengalaman negara lain, ada negara yang membuat keputusan dos penggalak ini diperlukan untuk seseorang dikategorikan sebagai penerima dos lengkap.

“Kita masih lagi belum membuat ketetapan dasar, tetapi berdasar kepada perkembangan di negara lain mungkin ke arah itu, maksudnya takrifan vaksinasi lengkap mestilah bersama dengan dos penggalak. Tapi belum lagi di negara ini setakat ini,” katanya dalam siaran langsung bersama Agenda Awani bertajuk ‘Dos Penggalak Sebagai Perisai’.

Beliau berkata, ketika ini pakar sedang mengkaji keberkesanan pemberian dos tambahan itu dan akan membuat syor kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B).

“…sebab kalau kita dapati kes meningkat, dan kemasukan ke hospital meningkat, disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak, dan sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan bahawa vaksinasi lengkap itu penerima series primer, dan juga dos penggalak, maka kita akan membuat keputusan yang sama,” katanya.

Katanya, negara juga bakal berdepan gelombang baharu kematian jika liputan dos penggalak rendah.

“Kalau liputan dos penggalak kita tak tinggi seperti liputan dos pertama dan kedua, kes akan meningkat dan bilangan kemasukan ke hospital akan meningkat, bilangan kematian akan meningkat ini kepastian,” katanya.

Khairy turut memaklumkan antara punca ramai penerima tidak hadir menerima suntikan vaksin dos penggalak kerana tidak mendapat maklumat tepat berhubung keperluan itu.

“Kedua, ketakutan kepada dos campur dan ketiga tiada lagi rasa takut sepertimana sebelum ini, apabila varian Delta muncul di Malaysia ramai nak vaksin sebab takut, tapi sekarang ini mungkin kita menjadi mangsa kejayaan kita sendiri,” katanya.

Leave a Reply