Bukan setakat 2, ’10 kolam’ pun kami sudi, kata Pemuda PAS

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Pemuda PAS menegaskan parti Islam itu boleh “bermain 10 kolam” demi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa selain untuk membawa agenda perpaduan ummah.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak timbul soal PAS dibuai kedudukan dan jawatan sehingga gagal memilih sama ada hendak bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno, atau Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu.

“Bukan setakat dua kolam, 10 kolam pun kami boleh main demi perpaduan ummah dan memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia sebagai menyangkal dakwaan kononnya parti Islam itu “bermain dua kolam” menyokong Umno serta Bersatu semata-mata untuk mempertahankan kedudukan dalam kerajaan.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mendesak PAS berhenti “berenang di dua kolam” dan memilih sama ada bersama Bersatu atau Umno.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tindakan PAS bersama dengan Bersatu dilakukan demi memastikan parti itu tidak merasa terasing sehingga membuka ruang “dipancing” semula ke dalam PH, seterusnya memberi peluang PH kembali berkuasa.

Katanya, tidak timbul persoalan PAS mahukan jawatan kerana ketika era Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, parti Islam itu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai bilangan kerusi sama di Parlimen tidak memboikot kerajaan meskipun PAS tidak mendapat jawatan menteri kanan.

“Pas sebenarnya tak selesa dengan situasi sekarang apabila terpaksa bersama dengan PN dan terpaksa menentang Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Tapi apa lagi pilihan yang kita ada?

“Adakah kita mahu mengetepikan Bersatu yang jelas telah berjasa sehingga menjatuhkan PH, dalam keadaan Umno begitu cekal menolak Bersatu. Kalau kita buat langkah demikian, saya yakin Bersatu akan semakin jauh dan tidak mustahil Bersatu akan bersama PH kembali,” tambah beliau.

Semalam Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata segelintir pendukung dalam MN mula dibuai kerusi empuk dan rasa selesa dengan kuasa yang ada sehingga melupakan semangat kerjasama serta cenderung kepada PN.

Mohamad berkata, agenda perpaduan ummah dan penyatuan merentasi politik telah “hilang” apabila timbul kecenderungan melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa.

Katanya lagi, kelalaian itu membawa persepsi seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam telah selamat dalam dakapan PN.

Leave a Reply