‘Segelintir’ pendukung MN dibuai kerusi empuk, rasa selesa berkuasa, Tok Mat jawab Hadi

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Segelintir pendukung dalam Muafakat Nasional (MN) mula dibuai kerusi empuk dan rasa selesa dengan kuasa yang ada sehingga melupakan semangat kerjasama serta cenderung kepada Perikatan Nasional (PN), kata Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, agenda perpaduan ummah dan penyatuan merentasi politik telah “hilang” apabila timbul kecenderungan melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa.

Mohamad berkata, kelalaian itu membawa persepsi seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam telah selamat dalam dakapan PN.

Kelmarin, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan PAS menolak gagasan MN yang terbelenggu dengan pembabitan hanya Umno dan parti itu sahaja.

Hadi berkata: “Mesti diterima hakikat bahawa PN yang menjadi gagasan politik lebih besar perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini”.

Mohamad berkata, ketika MN ditubuhkan, Umno sangat jelas dengan tujuan kewujudannya iaitu mempertemukan dua parti Melayu (Umno dan PAS) sekali gus menjadi wadah penyatuan dan kesatuan di atas sikap kejujuran dan keikhlasan.

Katanya, wadah kerjasama itu harus menjangkau politik, menjadi medan segala kepentingan Melayu-Islam dibincangkan, dan oleh kerana itu Umno sedari awal tidak mahu ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik walaupun pelbagai pihak dalam Umno dan PAS mendesak ke arah itu.

“Bagi Umno, biarlah MN menjadi wadah yang boleh memayungi semua, bukan sekadar kepentingan politik PAS dan Umno. Apatah lagi apabila ideologi dan pendekatan kedua-dua parti ini sangat berlainan.

“Yang jelas Umno tidak pernah membelakang dan meninggalkan MN. Sedikit demi sedikit, dengan segala daya yang ada, MN ini cuba Umno kukuhkan daripada segenap aspek.

“Tetapi, sebaik PN terbentuk, MN (seolah-olah) sudah tidak lagi berseri, sudah tidak ada penarik dan seperti sudah tidak ada erti (untuk pihak tertentu),” katanya.

Mohamad berkata, perkembangan itu tidak bermakna MN akan ditinggalkan dan sudah tidak relevan dengan PAS boleh terus bekerjasama dengan PN dan Umno pula di dalam BN.

Beliau berkata, jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan kedua-dua parti bertemu dan berbincang, maka MN harus menjadi platform perkara tersebut.

“Sesungguhnya, perpaduan ummah bukan hanya perpaduan antara Umno, PAS, dan Bersatu. Ia merangkumi permuafakatan semua yang merentas logo, bendera dan parti. Biar rambut kita beraneka warna, yang penting, hati kita pada bangsa dan agama,” katanya.

PAS adalah parti komponen PN yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin.

Selain beberapa pemimpin kanan PAS menyertai kerajaan persekutuan, Hadi turut dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

PAS sebelum ini menuduh Umno sebagai mungkir janji apabila tidak bersetuju Bersatu menyertai MN.

Umno pula mengecam PAS kerana bingkas menyertai PN walaupun sudah menubuhkan MN untuk bersama Umno.

Beberapa pemimpin Umno turut mendesak PAS berhenti “berenang di dua kolam” dan memilih sama ada bersama Bersatu atau Umno.

Leave a Reply