Umno boleh putuskan cinta tiga segi tajaan PAS

Hebahkan !!!

Jika ada usaha rapi dan gigih dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan pengundi perantau Melaka pulang mengundi dalam PRN Sabtu lalu berjaya, adakah keputusannya akan berubah?

Sekiranya tiada ancaman wabak Covid-19 yang menggerunkan pengundi di dalam dan luar Melaka untuk keluar membuang undi, berupayakah Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan?

Dalam pada itu jika RTM dan TV3 benar-benar berlaku adil dalam mempromosi semua calon tidak kira parti yang mereka wakili, adakah ia akan mengubah keputusan rasmi yang diumumkan SPR?

Begitu juga jika ceramah umum diizinkan dan pemimpin pembangkang dari DAP, PKR, PAN, dan juga Bersatu serta PAS bertumpu ke Melaka dengan “kepetahan” dan “pendedahan” politik mereka, adakah prestasi Umno (BN) akan secemerlang itu?

Besar kemungkinan jawapan bagi semua persoalan ini adalah “tidak”. Ini kerana Melaka memang termasuk wilayah pengaruh Umno yang kemudiannya berkembang menjadi kubu Barisan Nasional.

Mungkin kerana sebab itu, sejak mula lagi Umno menjarakkan diri dan tidak ghairah bekerjasama dengan rakan Perikatan Nasionalnya, Bersatu dan PAS.

Logik Umno mungkin ialah, mengapa perlu berkongsi kemenangan dengan Bersatu yang akidah awal penubuhannya ialah untuk menundukkan Umno? Begitu juga dengan PAS yang sejarah penubuhannya juga diasaskan pada akidah perjuangan yang berbeza dengan Umno?

Mungkin Umno mencongak bahawa lebih bijaksana terus bekerjasama dengan MIC dan MCA yang telah bersamanya memakmurkan Malaysia (dan Umno sendiri) daripada melayan dendam kesumat Muhyiddin Yassin yang dipecat dari Umno.

Sementara rekod PAS pula menunjukkan ia tidak pernah menjalin kerjasama setulusnya dengan mana-mana parti kerana merasakan ia adalah parti tunggal yang berhak memperjuangkan Islam; tidak kira parti kerjasama itu adalah Semangat 46, PKR, dan apatah lagi DAP.

Dan, konsep Perikatan Nasional pun bukan baru bagi PAS. Pernah satu ketika dahulu kononnya demi kepentingan nasional, Melayu dan Islam, PAS sanggup menyandarkan pengaruhnya untuk membentuk Barisan Nasional.

Kali ini Umno yakin budi yang ditabur untuk orang Melayu dan Islam adalah terlalu besar untuk dilupai oleh pengundi Melaka. Justeru, jika adapun pertelingkahan dalam kalangan pemimpin Umno yang mencetuskan krisis politik hingga berlakunya PRN, Umno yakin kerajaan Melaka tidak perlu dikongsi.

Sebab itu agaknya awal-awal lagi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sudah memainkan sentimen betapa Umno telah beberapa kali dikhianati dalam urusan PN yang hingga kini masih lagi sekutunya dalam kerajaan Persekutuan Malaysia.

Congakan Umno berhasil. Walaupun tanpa kehadiran Presidennya menakhodai jentera PRN Melaka, Umno menang besar. Sekaligus ia menyerlahkan bahawa dalam konteks politik Melaka, Bersatu dan PAS belum memiliki tapak politik yang kukuh.

Mujur Umno nekad “menyejuk-bekukan” sementara semangat PN di Melaka. Jika tidak, sudah tentu sukar baginya menyukat potensi sebenar rakan-rakan kongsinya itu. Kini Umno dapat menyelami kelemahan Bersatu dan PAS.

Mungkin ada yang melihat Melaka memang kubu Umno tetapi di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung keadaannya mungkin berbeza dan Umno masih memerlukan kedua-duanya untuk menjamin kejayaan dalam PRU15.

Namun Umno masih ada masa untuk menilai perlukah ia terus menjalin kerjasama dengan dua parti Melayu itu? Jika diteruskan, tidakkah ini akan menjadi igauan pengundi bukan Melayu dan Islam akan kebarangkalian Umno bergerak menjadi “terlebih rasis”?

Tidakkah lebih wajar jika strategis Umno menumpukan usaha menggilap kerjasama dengan rakan-rakan BN yang sedia ada dan mempererat hubungan dengan sepupu-sepapat di Sabah dan Sarawak untuk terus memimpin politik Malaysia?

PAS pernah menuduh Umno parti asabiyah dan berfatwa bahawa semangat perkauman melampau itu adalah terlarang dalam Islam. Sanggupkah Umno kini termasuk perangkap politik asabiyah yang dipasang PAS beberapa tahun lalu?

Umno perlu menghalusi dua faktor lain. Satu, mengukuhkan imej keremajaannya seperti yang dilakukan di PRN Melaka. Hemah ini jika dilaksanakan secara istiqamah akan menggilap wibawa Umno yang hampir diranapkan kebanyakan pemimpin-pemimpin veteran yang sudah lusuh integritinya.

Anai-anai politik yang mengerikan Umno iaitu “kluster kayangan” dan “kluster mahkamah” mestilah dikikis secepat mungkin. Tindakan ini perlu dan ia tidaklah terlalu payah atau mustahil dilakukan. Bariskan lebih ramai tokoh baharu dan ia akan menyentuh idealisme pengundi semua golongan usia.

Kedua, Umno perlu menebarkan seluas-luas jaring slogan “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan oleh Naib Presidennya yang kini Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakub, kerana ia amat mujarab menjadi “pendingin” idealisme orang muda yang mendambakan Keluarga Bahagia masing-masing.

Pengajaran konsep ini amat luas dan mendalam kerana ia merentas budaya semua kaum dan agama. Ia menjanjikan kerukunan dan hidup dengan nilai hormat-menghormati serta kasih sayang. Ia juga serasi dengan kaedah Undi18, dan pengundi keseluruhannya.

Ismail menterjemahkan firasat kepemimpinannya dengan mengutamakan pendekatan yang lembut dan berhikmah apabila mengutamakan kewarasan dan kematangan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang.

Momentum ini harus dipertahankan kerana ia adalah inisiatif Umno. Bersatu adalah wadah yang dilahirkan dengan senjata politik terhunus ke arah kleptokrat Umno. Sementara PAS nampaknya cuba menumpang angin perkauman dan slogan agama untuk menggoda Umno merungkai konsep Barisan Nasional.

Namun PAS cepat jatuh cinta pada silat pulut Bersatu yang memendam rasa untuk merungkai kekuatan Umno sebagai pemimpin Melayu dan Islam dengan berkesan sayugia seluruh Malaysia sejak lebih enam dekad silam.

Dalam hal ini, Umno tidak perlu teragak-agak atau khuatir akan mencetuskan kekecohan dalam politik Melayu dan Islam kerana budaya yang cuba diterapkan oleh Bersatu iaitu merapatkan fikrah politik Melayu melalui strategi lompat parti adalah amat hina dan memualkan.

Sementara kerakusan PAS cuba mengembangkan kepentingan politiknya dengan monopoli fatwa agama memang wajar dibenamkan kerana hanya menjadi “sokong membawa rebah”.

Bagaimana dan sampai bila Umno boleh menampung kekecewaan dan amarah politiknya terhadap perilaku sekutu-sekutunya sendiri yang acapkali membangkitkan persoalan kleptokrasi Umno seolah-olah Bersatu dan PAS tidak pernah bersalah kerana perangai yang sama.

Leave a Reply