2 ADUN PN sertai kerajaan Melaka? Pimpinan BN akan bincang, kata Sulaiman

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) akan berbincang sama ada dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) boleh bersama dalam pembentukan kerajaan negeri atau sebaliknya, kata Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Lendu berkata, walaupun pentadbiran kerajaan persekutuan menjalinkan kerjasama dengan PN, namun senario pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan BN bertanding secara solo perlu diambil kira.

“Saya kena bermesyuarat terlebih dahulu dan saya mesti berbincang dengan pucuk kepemimpinan parti kerana kali ini kita BN bertanding secara solo, bukan dalam kerajaan atau PN.

“Justeru, apa juga keputusan dibuat pucuk kepemimpinan parti saya akan akur,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau sebelum ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melebihi dua pertiga kerusi pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

Dua ADUN PN yang menang dalam PRN adalah Mohd Aleef Yusof di kerusi Sungai Udang dan Mohd Yadzil Yaakub di Bemban.

Sulaiman berkata, anggota Exco yang diumumkan selewat-lewatnya hujung minggu ini akan menggabungkan muka lama dan baharu.

Beliau berkata, kombinasi itu membabitkan pelantikan dalam kalangan ADUN mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman bersesuaian dan memenuhi keperluan semasa.

“Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk agihkan portfolio mengikut kesesuaian.

“Mungkin hujung minggu ini kita akan umumkan pelantikan Exco,” katanya.

Leave a Reply