Cadang hapus ‘kapcai’ bingungkan penghantar, pekerja dan peniaga

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Cadangan penghapusan motosikal bawah 250cc mengundang lebih banyak pertanyaan dan kebimbangan dalam kalangan penghantar, pekerja dan peniaga.

Baru-baru ini, bekas ketua Bahagian Perancangan dan Polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan, mencadangkan motosikal bawah 250cc dikeluarkan daripada pasaran susulan kadar kematian jalan raya melibatkan penunggang motosikal yang tinggi.

Wan Agyl, yang juga pemimpin Pemuda Umno, mencadangkan “jentera pembunuh” itu digantikan dengan motosikal elektrik.

“Kalau kerajaan beri motosikal percuma, saya sokong,” kata seorang penghantar bermotosikal, Rudiallah, 26, kepada FMT.

Beliau menggesa “golongan pakar” supaya memikirkan juga kemampuan kewangan rakyat kebanyakan dalam cadangan mereka.

Rudiallah, 26, Petaling Jaya

“Satu hal pula kami nak cari duit beli motosikal elektrik. Bukan semua orang ada duit nak beli motosikal baharu. Dengan Covid-19 lagi, ramai orang hilang kerja nak kena beli motosikal lain pula,” tambahnya.

Wan Agyl dalam program bual bicara Astro Awani berkata, dianggarkan terdapat 11 juta motosikal “kapcai” yang aktif – 90% daripada 15.2 juta motosikal yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata, “kapcai” mengakibatkan banyak kematian – secara purata 4,100 kematian setahun dalam tempoh 12 tahun – dan ini adalah “kehilangan produktiviti bagi negara”.

Azri Abdullah, 31, Sungai Buloh

Azri Abdullah, 31, Sungai Buloh

“Sama saja kalau ganti motosikal elektrik. Dua tayar juga,” kata Azri Abdullah, 31, sambil menepuk motosikalnya.

“(Motosikal elektrik) tak ada jaminan keselamatan pun.”

Angka polis trafik menunjukkan 79,916 pengguna motosikal terbunuh dalam kemalangan jalan raya dari 2001 hingga Ogos tahun ini.

Shahrir Ramli, 22, berkata, kerajaan sebaliknya harus memperbaiki dan menaik taraf jalan negeri dan persekutuan untuk keselamatan pengguna.

Penghantar e-panggilan sambilan itu berkata, pekerjaannya menuntut beliau dan ratusan ribu rakan sekerja berada di jalan raya dengan motosikal yang sesuai dan keadaan jalan yang baik.

Shahrir Ramli, 22, Shah Alam

Shahrir Ramli, 22, Shah Alam

Shahrir Ramli, 22, dari Shah Alam berkata: “Saya sendiri dalam seminggu mesti ada langgar lubang,” katanya, sambil menunjukkan tayar motosikalnya.

Beliau juga tertanya-tanya apakah golongan pakar sudah mempertimbangkan perkhidmatan penghantaran e-panggilan menggunakan motosikal elektrik secara keseluruhan.

Wan Agyl berkata, motosikal elektrik berharga murah, iaitu antara RM1,500 dan RM2,000 dan tidak mudah diubah suai, walaupun tidak selaju motosikal dengan kuasa bawah 250cc.

“Nak hantar makanan pakai motosikal elektrik?” soal Shahrir.

Seorang peniaga motosikal yang minta tidak dinamakan juga tertanya-tanya apakah cadangan itu sudah dipertimbangkan secara keseluruhan.

Peniaga motosikal bakal alami kerugian jika cadangan itu dilaksanakan© Provided by Free Malaysia Today Peniaga motosikal bakal alami kerugian jika cadangan itu dilaksanakan

“Motosikal bersusun ini siapa mahu beli nanti? Rugilah kami,” katanya kepada FMT.

“Orang ramai pun mana ada duit nak beli motosikal elektrik atau motosikal kuasa tinggi. Lagipun motor juga. Kalau kena langgar, kena juga,” tambahnya.

Cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2017 untuk melarang motosikal “kapcai” memasuki pusat bandar Kuala Lumpur turut mengundang reaksi tidak senang daripada golongan pekerja yang saban hari keluar masuk bandar raya itu.

Media melaporkan alasannya adalah bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menangani jenayah ragut.

Leave a Reply