PAS Melaka realistik, hormat hak bukan Muslim, kata Rafiq

Hebahkan !!!

MELAKA TENGAH: Dalam usaha membela PAS, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen memberi jaminan gabungan itu akan menghormati hak bukan Muslim sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian setelah kerajaan pimpinan PAS di Kedah menimbulkan kegusaran dalam kalangan bukan Melayu apabila ia mengumumkan akan menutup semua kedai judi nombor ekor dan mengekang jualan arak di negeri itu.

Di Melaka, Rafiq berkata, partinya, Bersatu akan menerajui kerajaan negeri sekiranya PN memenangi pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

“Bersatu memimpin PN Melaka dan PAS bersama kita dalam gabungan PN. Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan Bersatu akan mengetuai kerajaan negeri sekiranya kerajaan PN ditubuhkan,” katanya kepada FMT.

Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan Pengerusi PN di peringkat nasional manakala PAS adalah parti komponen gabungan itu.

Tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor tidak lagi memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor dan mengehadkan jualan arak di negeri itu dilapor memberi tempias kepada usaha PN meraih sokongan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Walaupun calonnya tidak akan diangkat menjadi Ketua Menteri, PAS tentunya akan menganggotai barisan Exco kerajaan Melaka sekirannya PN membentuk kerajaan negeri baharu.

Rafiq yakin PAS Melaka akan terus menghormati hak bukan Muslim di negeri itu dan tidak timbul soal menindas mereka.

“Dalam pengalaman saya bekerjasama dengan PAS di Melaka, mereka cukup realistik (dan) terbuka.

“Mereka menghormati hak (orang), bukan sahaja hak orang Islam tetapi juga hak bukan Islam untuk mengamalkan aktiviti yang dibenarkan oleh agama dan kaum masing-masing,” katanya.

Rafiq berkata, jika diberi mandat pengundi, kerajaan PN yang akan dibentuk di Melaka bukan “kerajaan Melayu Islam semata-mata tetapi kerajaan untuk semua kaum.”

Selain calon PAS dan Bersatu, PN turut membariskan calon Gerakan pada PRN kali ini untuk bersaing dengan Umno-Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan calon Bebas.

“Kita akan pastikan aspirasi berbilang kaum dihormati dalam dasar-dasar yang akan dipelopori oleh kerajaan negeri PN di Melaka,” katanya.

Leave a Reply