Dr M cemerlang jadi PM ketika beliau Presiden Umno, kata Tok Mat

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad cemerlang mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 hanya kerana beliau seorang pemimpin Umno ketika itu, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Bercakap dalam satu program bual bicara malam tadi, Mohamad yang popular dengan gelaran Tok Mat berkata ramai pemimpin Umno yang keluar daripada parti itu juga “tersungkur di tengah jalan”.

“Banyak nama besar di dalam Umno dan Barisan Nasional bila mereka menongkah arus tak ke mana. (Tetapi) ramai kembali semula, ramai tersadai dan ramai ‘mati tergantung’ macam tu saja. Jadi pendek cerita janganlah melompat-lompat,” katanya.

Beliau menegaskan seorang pemimpin yang baik tanpa didokong oleh parti teras yang mempunyai pengalaman luas mentadbir negara tidak akan mampu mengemudi negara untuk tempoh lama.

Beliau turut memberi contoh nasib menimpa Mahathir yang hanya bertahan selama 22 bulan ketika menjadi Perdana Menteri era Pakatan Harapan.

Mahathir memimpin negara selama 22 tahun bermula 1981 hingga 2003 dan kembali menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan pada Mei 2018 hingga Jan 2020.

“Kita lihat dalam 22 bulan PH mentadbir negara, orang punya pengharapan kepada Tun M ketika itu amat tinggi kerana kecemerlangan beliau semasa jadi Perdana Menteri sebagai Presiden Umno.

“Seorang Perdana Menteri yang baik yang mempunyai kualiti yang baik tetapi tidak didokong oleh satu pasukan seperti institusi Umno yang mempunyai pengalaman luas mentadbir negara, susah untuk beliau mentadbir negara. Jadi di mana terletak kualiti (seorang pemimpin), apakah beliau sendiri atau pasukan itu?” katanya.

Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata, Mahathir gagal mentadbir negara kerana dibarisi parti yang mempunyai pelbagai perbezaan matlamat dan falsafah.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka memilih dengan cermat pada Sabtu ini, dengan memberi mandat dua pertiga kepada calon parti teras iaitu Umno dan BN agar kerajaan negeri kembali stabil.

“Pilih calon kecil-kecil buat apa, suka pada calon ini suka pada calon Bebas, calon Bebas nak buat apa? Parti kecil ini nak buat apa? Pilih calon parti teras. Kalau orang Melaka nak negeri ini aman sejahtera semula seperti yang pernah dinikmati selama berpuluh tahun tetapi tergendala sebab PRU14, selepas 22 bulan sengsara. Takkan tak sedar.

“Kalau kata tak boleh pilih parti, nak pilih calon esok ‘bertompok-tompok’ jadi terpaksa berkumpul balik untuk tubuh kerajaan maka kerajaan akan jadi kerajaan tak sekata masing-masing mempunyai agenda masing-masing dan ketua menteri asyik fikir sama ada dia ada ke tak kerusi bila bangun pagi,” katanya.

Leave a Reply