Warganet selar filem popular China

Hebahkan !!!

A portion of the movie poster that was teased by Golden Screen Cinemas this evening.

 

PETALING JAYA: Warganet menyelar filem perang China di Malaysia dengan segelintir menganggapnya tidak wajar disiarkan di negara ini kerana mempromosikan komunisme.

‘Teaser’ filem itu dikongsikan Golden Screen Cinemas (GSC) di media sosial petang ini dan terus mendapat reaksi oleh warganet.

Filem The Battle at Lake Chang Jin dihasilkan bersempena ulang tahun ke-100 Parti Komunis China tahun ini, dan berjaya mengaut hampir USD900 juta (RM3.7 bilion) sejak ditayangkan di peringkat antarabangsa bulan lalu. Ia juga filem paling laris tahun ini, selain filem bukan Inggeris dengan kutipan tertinggi dalam sejarah.

Ia kisah fiksyen berkaitan dengan kemenangan tentera China dalam Perang Korea pada 1950-an melawan pasukan tentera antarabangsa diketuai Amerika Syarikat.

Mengulas hantaran dikongsikan GSC di Facebook itu, pengguna DE Ion Yuda berkata, “…ini filem komunis, saya tidak rasa ini dibenarkan di Malaysia.”

Napoleon Low pula menyifatkan filem itu untuk dinikmati “rakyat Tanah Besar China” dan “kita tidak perlukan filem komunis seperti ini yang memutarbelitkan sejarah.”

Seorang lagi pengguna, Alice Neoh Kah Yong meminta GSC berhenti menayangkan filem seperti itu.

Loh Wei Jian dan Davis Tan masing-masing mempertikaikan filem beraliran komunis dibenarkan untuk ditayangkan di Malaysia.

Mereka turut menggesa supaya Finas menyiasat perkara itu.

“Filem yang memutarbelitkan sejarah tidak patut disiarkan atau ditayangkan di Malaysia.”

‘Teaser’ GSC itu memaparkan poster filem berkenaan menunjukkan dua askar People’s Volunteer Army, namun tidak menyatakan tarikh akan ditayangkan.

Filem itu ditayangkan di China pada 30 Sept pada ambang Hari Kebangsaan negara itu, seterusnya memperingati penubuhan Republik Rakyat di Tanah Besar China.

Leave a Reply