Kerjasama perkukuh sosio-ekonomi serantau menerusi IMT-GT

Hebahkan !!!

IDIHAYS. SB

PRESIDEN Joko Widodo dan Perdana Menteri Thailand dijangka turut serta dalam Sidang Kemuncak Ke-13 IMT-GT. 

GAGASAN kerjasama sosio-ekonomi dirintis melalui Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) lebih 28 tahun lalu, akan terus diperkukuh serta diberi tumpuan pada Sidang Kemuncak Kali ke-13, esok yang diadakan secara maya.

Sidang sama turut menjadi medan perkukuh permuafakatan tiga negara serantau yang terlibat, selari semangat persefahaman terbentuk melalui ASEAN.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku tuan rumah IMT-GT, sidang dijangka turut dihadiri Presiden Indonesia, Joko Widodo, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-on-cha.

Pengerusi IMT-GT, Tan Sri Rozali Ismail
menerusi kenyataan menegaskan komitmen Malaysia meneruskan falsafah bagi IMT-GT sebagai wadah penggerak pertumbuhan ekonomi dipacu oleh sektor swasta sambil dimudahcarakan oleh sektor kerajaan.

“Saya mengalu-alukan kehadiran pemimpin dan delegasi dari negara-negara anggota ke sidang kemuncak kali ini dan berharap keberhasilan sidang nanti mampu merangka dasar serta program pemulihan ekonomi serantau lebih pantas dan berkesan,” katanya yang mengetuai delegasi komuniti perniagaan Malaysia.

Kata Rozali, Pelan Pembangunan Wilayah IMT-GT yang dizahirkan melalui Kerangka Pelaksanaan (Implementation Blueprint) 2017-2021 telah terjejas dengan ketara akibat daripada pandemik Covid-19.

KOMUNITI Perniagaan dari negara anggota akan turut serta dalam Sidang IMT-GT ini. 

Sehubungan itu katanya, Majlis Bersama Perniagaan Malaysia bersama komuniti perniagaan umumnya, mengharapkan sidang kali ini dapat mengambil ketetapan dalam menggerakkan dasar-dasar serta program pelaksanaan pantas memulihkan ekonomi.

“Selain itu, ia diharap dapat meneroka bidang-bidang keutamaan berimpak tinggi serta meningkatkan keyakinan komuniti
perniagaan untuk melabur semula di dalam sektor-sektor ekonomi terjejas teruk ketika ini,” jelasnya.

Beliau juga optimis para pemimpin negara IMT-GT akan bersepakat bagi meningkatkan inisiatif vaksinasi dalam negara masing-masing, bersedia membuka semula ekonomi, pintu sempadan serta perjalanan rentas negara dalam tempoh masa terdekat bagi memulihkan sektor-sektor yang terjejas.

Malaysia katanya berharap para pemimpin sidang kemuncak akan memberi komitmen untuk melaksanakan beberapa dasar fiskal dan pentadbiran dengan memberi insentif kepada sektor perniagaan untuk dibuka berasaskan norma baharu yang lebih mesra perniagaan.

“Sokongan dari kerajaan negara anggota diharapkan dapat memperkasa inisiatif pendigitalan perniagaan dan urusniaga rentas sempadan, kurang birokrasi serta peningkatan kecekapan dalam pengurusan pergerakan dagangan dan manusia di pintu sempadan, terjamin keselamatan kesihatan di negara-negara anggota,”ujarnya.

Leave a Reply