Saya faham senario penuh lepas tonton video, Pandelela jawab Peja

Hebahkan !!!

Pandelela Rinong sebelum ini mendedahkan pengalamannya berdepan seorang jurulatih yang menjadikan perkara lucah sebagai bahan lawak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong memahami situasi dan penjelasan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu serta berterima kasih terhadap apa yang dilakukannya di peringkat kementerian.

Katanya, beliau memahami penjelasan Faizal selepas menonton video penuh sidang media semalam.

“Tidak mengapa YB (Yang Berhormat), saya faham keseluruhan senario sekarang selepas menonton video ini (sidang media). Wartawan lelaki yang bertanyakan soalan kepada anda menimbulkan tanda tanya.

“Terima kasih kerana mendengar dan sudi ambil tahu, diharapkan YB dapat membantu untuk menyokong pasukan terjun negara menjadi lebih baik pada masa hadapan,” katanya di Twitter.

Sebelum ini, Pandelela mendedahkan pengalamannya berdepan seorang jurulatih yang menjadikan perkara lucah sebagai bahan lawak.

Semalam, Faizal dilaporkan berkata, beliau ingin tahu kenapa pendedahan itu dibuat selepas begitu lama untuk membolehkan pihaknya memahami keseluruhan senario itu.

Isu lawak seks sebelum ini hangat diperkatakan susulan video tular memaparkan seorang pelakon tempatan, Fauzi Nawawi menceritakan semula babak rogol lakonannya bersama pelakon Raja Farah dalam sebuah rancangan televisyen.

Hari ini, Faizal memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau mahu mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai isu gangguan seks dan tidak sekali-kali meremehkan pendedahan Pandelela itu.

Beliau berkata, laporan yang memetiknya sebagai bertanya kenapa Pandelela membuat pendedahan lawak berbaur lucah itu selepas sekian lama adalah dalam konteks untuk mendapatkan gambaran penuh sebelum mengambil tindakan wajar.

“Apa telah saya sendiri perkatakan dalam satu sidang media semalam, mungkin telah dicatatkan secara ‘out of context’ oleh media. (Yang dimaksudkan ialah) bahasa kita perlu mendapatkan penjelasan yang lebih daripada Pandelela sendiri dan mereka yang terlibat dalam perkara melibatkan jenaka lucah dan sebagainya.”

Leave a Reply