Ali tidak ‘bertinju’ di PRN Melaka, hanya bantu jentera parti

Hebahkan !!!

IDIHAYS. SB

ALI Tinju turut serta dalam gerak kerja bantu jentera BN di DUN Klebang.

MOHD Ali Baharom atau lebih dikenali Ali Tinju mengesahkannya tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November depan.

Sebaliknya, kata beliau, fokus kini tertumpu kepada gerak kerja parti untuk menangkan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, yang mungkin ditandingi oleh calon MCA.

Katanya, walaupun BN tewas kepada calon PKR pada pilihan raya umum lalu, namun potensi merampas kembali kerusi itu masih terbuka sekiranya beberapa perkara dimahukan rakyat dapat dipenuhi.

“Berdasarkan populasi, pengundi Melayu hampir 78 peratus di DUN Klebang, bakinya lain-lain kaum. Kesemua mereka akui kira-kira tiga tahun selepas PRU-14, tiada apa perubahan dibuat calon PKR di situ.

“Melalui program Sentuhan Hati kita laksana bagi mendekati rakyat, inputnya penduduk mahukan  dewan serbaguna untuk kemudahan aktiviti warga atau pun majlis kenduri,” katanya ketika dihubungi.

Pada PRU-14 lepas, DUN Klebang dimenangi calon PKR, Gue Teck dengan 7,648 undi menewaskan calon BN, Lim Ban Hong (MCA) meraih 6,859 undi.

Sementara itu, dengan sejumlah hampir 21,000 pengundi berdaftar, harapan untuk BN rampas kembali kerusi DUN itu terbuka luas sekiranya keperluan serta keinginan penduduk dapat dipenuhi.

Tambahan pula, kata Ali Tinju, ADUN sedia ada sebagai wakil rakyat di kawasan tidak berperanan seperti  diinginkan malah sehingga kini, tiada satu pun perubahan atau pembaharuan dilakukan calon PH itu.

“Bagi anak muda kawasan, mereka mahukan padang bola sepak dan padang futsal untuk beriadah, jadi dengan bilangan anak mudanya ribuan orang, saya rasa kemudahan ini berbaloi untuk disediakan.

“Ada juga mahukan Pusat Internet Komuniti, jadi dengan bangunan Masjid Bukit Rambai tak digunakan lagi ,mungkin boleh dipertimbang untuk diubah suai dijadikan Pusat IT,” katanya optimis jika beberapa keperluan itu dapat dipenuhi, DUN Klebang berada dalam genggaman BN.

Leave a Reply