Saya tak akan khianati Umno, Ku Nan dedah pernah ditawar jadi TPM untuk lompat parti

Hebahkan !!!

Tengku Adnan Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, tindakan 16 Ahli Parlimen Umno melompat ke Bersatu disebabkan mereka menerima tekanan politik.

 

PETALING JAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor mendakwa beliau dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas kekalahan Umno pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan mendakwa beliau adalah antara Ahli Parlimen Umno yang dipujuk supaya melompat kepada Bersatu.

“Saya telah diminta untuk memberikan sokongan kepada mereka, lompat kepada parti mereka dan diberikan janji pelbagai jawatan sehinggakan jawatan penghabisan adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Namun demi Allah, apa yang saya ada hari ini adalah kerana Umno dan saya tidak akan mengkhianati parti saya.

“Walau apa terjadi saya tidak akan mengikut apa yang dikehendaki mereka kerana saya amat yakin hanya Umnolah yang akan menentukan masa depan orang Melayu, agama saya terjaga dan negara terpelihara dengan hala tuju yang benar,” katanya menurut laporan Umno Online.

Tengku Adnan berkata, walaupun parti itu berdepan sabotaj daripada parti serpihannya Bersatu, namun mereka gagal melihat Umno terkubur.

““Oleh kerana itu, walaupun kita menghadapi onar yang begitu ketara terutama daripada parti serpihan yang inginkan Umno ini gugur, namun kita bersyukur kerana sehingga hari ini hasrat mereka untuk melihat Umno terkubur gagal,” katanya yang juga Bendahari Umno.

Katanya, Umno sendiri menyedari bahawa wakil rakyatnya berdepan pelbagai tekanan sebelum ini.

“Oleh kerana kerakusan kerajaan yang baru menang ketika itu, mereka telah mengambil tindakan perundangan dan dituduh dengan pelbagai tuduhan politik dengan tujuan melemahkan ahli-ahli Umno itu sendiri.

“Ini kerana kemenangan mereka juga tidak begitu selesa maka mereka telah membuat pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat Umno untuk lompat menjadi ahli mereka.

Justeru katanya, Umno sendiri ada 16 Ahli Parlimen yang bertindak memberikan sokongan kepada Bersatu.

“Tetapi kita tahu kenapa mereka ini berbuat demikian yang barangkali adalah kerana tekanan yang telah dibuat oleh pihak tertentu untuk memastikan sokongan diberikan terhadap mereka, malah jika tidak mereka akan diheret ke muka pengadilan atas tuduhan di luar akal sebagaimana saya sendiri,” katanya.

Leave a Reply