Suami redha isteri meninggal sehari selepas berkahwin

Hebahkan !!!

SAAT-saat bahagia pasangan ini bernikah pada Sabtu, sebelum isterinya meninggal dunia keesokannya.

PERASAAN pilu di hati, tak siapa mampu mengerti. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kisah seorang lelaki yang kehilangan isterinya, hanya selepas sehari mendirikan rumah tangga.

Kisah sedih pasangan pengantin baharu ini tular di media sosial dan rata-rata warganet menitipkan doa kepada arwah dan memberikan kata-kata semangat kepada suaminya.

Menurut laporan Sinar Harian, Mohamad Amirul Akmal, 25, kehilangan isterinya Siti Saraf Ismail yang berusia 25 tahun pada Ahad, hanya dalam tempoh 24 jam selepas mereka bergelar suami isteri.

Mohamad Amirul berkata, selepas selesai majlis perkahwinan mereka pada Sabtu, isterinya mengadu mengalami sakit kepala dan kemudiannya menyambung semula tidur seperti biasa.

“Pada jam 3 pagi, saya dikejutkan oleh isteri yang memaklumkan dia mengalami sakit kepala.

“Selepas itu dia tidur semula sehingga pagi dan sepanjang tempoh tersebut saya berada di sisinya,” katanya yang ditemui pemberita di rumah mentuanya di Kampung Karang, Banggu, Kelantan pada Isnin.

Mesra disapa Amirul, dia yang bertugas sebagai pembantu perubatan berkata dia melihat isterinya berada dalam keadaan baik dan masih lagi tidur pada pagi Ahad.

Bagaimanapun selepas itu, dia dan keluarga cemas apabila melihat Siti Saraf mengalami sesak nafas.

“Saya segera hubungi ambulans kerana pada ketika itu isteri sangat memerlukan bantuan oksigen dan ambulans tiba jam 12 tengah hari.

“Bagaimanapun, isteri disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari oleh doktor bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM),” katanya.

Hasil bedah siasat dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) doktor mengesahkan Siti Saraf bekerja di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak sebelah kanan.

Walaupun dugaan yang dilalui oleh Amirul sangat berat, tetapi dia tenang dan redha dengan takdir yang telah tertulis dariNya.

Arwah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang pada Ahad, dan kata-kata terakhir diucapkan oleh Siti Saraf sebelum meninggal dunia adalah, “Abang… kita dah kahwin.”

Leave a Reply