Tak sempat arah filem ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’

Hebahkan !!!

IPOH – Allahyarham Mamat Khalid, 58, sepatutnya akan memulakan penggambaran untuk telemovie bertajuk ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’ minggu hadapan

Perkara itu didedahkan anak Allahyarham, Mohd Khalid Amen Mohamad, 25.

“Filem itu masih mengekalkan pelakon yang sama papa sudah ambil beberapa ‘speed’ untuk siapkannya.

“Papa bercadang untuk memulakan penggambaran hujung bulan ini tetapi tidak sempat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini pada Ahad.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Ahad.

Mohd Khalid berkata, bapanya sempat membuat persembahan di kafe mereka di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River.

Katanya, bapanya yang bermain ‘keyboard’ sedang memainkan lagu ‘Apokalips’ di hadapan ahli keluarganya tiba-tiba terdiam.

“Kami terus terpa ke arahnya apabila tiba-tiba papa terdiam. Dia tidak mengadu sakit apa-apa pun ketika itu.

“Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital. Papa memang ada sakit jantung,” katanya.

Allahyarham Mamat Khalid meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh.

Mamat menjadi pengarah filem buat kali pertama menerusi filem komedi Lang Buana yang dibintangi oleh kumpulan Senario.

Minatnya terhadap muzik rock mengilhamkan beliau untuk menulis dan mengarah filem Rock pada tahun 2005 seterusnya menghasilkan francais filem Kampong Pisang yang menambat hati peminat filem tanah air.

Leave a Reply