Nabila Razali bertuah kerana Peluang Kedua

Hebahkan !!!

PERNAH dikritik dan dikecam netizen, gara-gara tidak mampu menyanyikan lagu yang dipertandingkan sewaktu pentas akhir Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) secara langsung.

Namun siapa sangka, sejak lagu Peluang Kedua, nyanyian Nabila Razali dilancarkan lebih setahun lalu sehingga kini ia masih mendapat tempat di hati pendengar. Siapa sangka lagu yang banyak ‘merobek’ hati Nabila atau Bella itu ternyata membawa tuah kepada dirinya.

Terbaharu, lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu berjaya meraih 2x Platinum Award kerana memenuhi kriteria berjaya mendapat hasil sehingga RM400,000.  Syarat untuk mendapat Platinum Award, lagu tersebut haruslah meraih hasil sebanyak RM200,000.

Nabila meluahkan rasa syukur dan menganggap ia satu pencapaian terbaik buat dirinya dan segala penat lelah dalam mempromosikan lagu tersebut berbaloi.

“Alhamdulillah ini merupakan pencapaian terbaik Bella buat masa ini. Penat lelah kami satu team berbaloi dengan penjualan lagu ini. Saya juga tak sangka lagu Peluang Kedua ini dapat sambutan yang sangat menggalakkan sejak ia dilancarkan.

“Faktor utama kejayaan itu pastinya disebabkan lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu sendiri merupakan produk yang bagus dan berkualiti.  Sebagai artis, Bella juga sentiasa memastikan lagu yang dinyanyikan itu dipromosi sebaik mungkin dan disukai oleh pendengar.

“Bagi Bella, setiap produk yang dikeluarkan itu haruslah berkualiti dan bukan syok sendiri supaya hasilnya bukan kita sahaja suka, tetapi peminat juga suka dan boleh relate dengan lagu tersebut. Ini merupakan satu faktor yang sangat penting tentang kejayaan lagu Peluang Kedua dan semua lagu-lagu yang bakal dikeluarkan oleh Bella,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila memberitahu beliau bakal melancarkan lagu baharu tidak lama lagi. Seperti Peluang Kedua, penyanyi yang juga pelakon itu berharap agar lagu berkenaan turut mendapat sambutan hangat pendengar muzik Malaysia.

Leave a Reply