Ai-Da dibebaskan pihak berkuasa Mesir

Hebahkan !!!

Ai-Da bersama Aidan Meller menunjukkan lukisan dihasilkan robot pintar itu.

SELEPAS 10 hari ditahan, pihak berkuasa Mesir akhirnya membebaskan Ai-Da, sebuah robot berwajah manusia memiliki kepintaran buatan (AI) untuk melukis, melakar serta mengukir arca.

Penahanan atas alasan keselamatan itu dilakukan menjelang pameran “Forever is Now” anjuran Art D’Egypte, Kementerian Pelancongan dan Antikuiti dan Kementerian Luar di tapak warisan UNESCO yang berusia 4,500 tahun itu.

Pameran pertama seumpamanya yang akan berlangsung mulai 7 November ini menjadi pentas bagi Ai-Da sepatutnya menunjukkan karyanya di Piramid Giza.

Ini kali pertama aktiviti tersebut dibenarkan di lokasi berkenaan sejak beribu-ribu tahun lalu, memecah tradisi Mesir itu sendiri.

Kepintaran robot Ai-Da boleh mengubah apa yang dilihat melalui mata berkamera kepada seni lukis, lapor dailysabah.com.

Menurut laporan media, robot direka cipta oleh Aidan Meller itu ditahan oleh pengawal keselamatan di lapangan terbang tempatan kerana didakwa boleh melakukan kegiatan pengintipan.

PIRAMID Giza lokasi dipilih untuk acara itu.

Aidan bagaimanapun menjelaskan, modem dan juga mata berkamera digunakan robot berkenaan untuk tujuan pengenalan diri dan juga untuk melakar serta melukis.

“Saya hanya boleh menanggalkan modem tetapi bukan matanya,” tambah beliau lagi.

Penahanan robot itu telah menyebabkan berlakunya perbalahan diplomatik di antara Mesir dengan United Kingdom.

“Ai-Da dinama sempena pakar matematik dan juga komputer berbangsa Inggeris iaitu Ada Lovelace, adalah robot mampu menjadi artis, bukannya perisik,” kata Meller sambil akui memahami kebimbangan sesetengah pihak tentang kehadiran robot berkenaan.

Beliau berkata, Ai-da mempunyai matlamat untuk mengetengah dan juga mengingatkan masyarakat dunia tentang penyalahgunaan pembangunan teknologi dan penahanan ini adalah kerana robot itu adalah salah satu kemajuan teknologi.

Leave a Reply