Shafee menang, Majlis Peguam diarah bayar ganti rugi

Hebahkan !!!

MAJLIS Peguam (BC) menerima tamparan hebat apabila Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini memutuskan badan itu didapati melanggar salah satu daripada peruntukkan undang-undang dalam Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976.

Lebih parah, badan tersebut diarahkan membayar ganti rugi (jumlah ditaksirkan kemudian) kepada peguam senior, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Tan Sri Rohana Yusuf menyatakan, BC sepatutnya merujuk usul dikemukakan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan disokong oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri VC George, antara lainnya mempertikaikan Muhammad Shafee sertai roadshow kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan menyertai `roadshow’ itu didakwa telah melanggar peraturan profesion undang-undang melarang mana-mana peguam mencari publisiti untuk diri sendiri.

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli ketika membaca keputusan menyatakan, rayuan itu hanyalah menjurus persoalan sama ada BC boleh dipertanggungjawabkan kerana melanggar tanggungjawab statutorinya.

“Rayuan ini tidak libatkan isu saman fitnah atau konspirasi untuk memfitnah mahupun sama ada Muhammad Shafee bersalah atau sebaliknya bagi pertuduhan salah laku,” kata hakim itu.

Merujuk Seksyen 99(1) LPA 1976, Hakim Abdul Rahman berkata , sebarang dakwaan salah laku seseorang peguam atau pelatih undang-undang hendaklah dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Peguam bela dan Peguam cara secara bertulis.

Kata hakim itu, sebagai senior dalam BC, Thomas dan George sepatutnya tahu bahawa usul mereka itu adalah satu aduan salah laku dan sepatutnya merujuk terus kepada Lembaga Tatatertib.

“Adakah kedua-dua peguam senior itu yang usul mereka sebenarnya satu aduan berhubung salah laku peguam bela dan peguam cara seperti mana dalam peruntukkan Seksyen 99(1) LPA? Adalah sesuatu yang naif untuk memikirkan sebegitu,” kata hakim Abdul Rahman.

Hakikat bahawa aduan tersebut bawah samaran sebagai satu usul ia tetap tidak mengubah isinya yang menyentuh mengenai salah laku peguam bela dan peguam cara.

Apa yang penting ialah kandungan tuduhan salah laku tersebut bukannya label atau cara difail yang menentukan sama ada ia satu aduan, usul atau apa sahaja, ujar Hakim Abdul Rahman.

BC turut diarahkan membayar ganti rugi kepada Muhammad Shafee. 

Walaupun usul tersebut tidak dibincangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-69 kerana terdapat perintah sekatan namun tindakan BC menyiarkan usul tersebut di laman sesawangya dan dakwaan salah laku itu disebarkan kepada 15,000 ahlinya yang kemudian dilaporkan media, mengakibatkan Muhammad Shafee diprejudis.

Peguam, Datuk S. Ambiga dalam hujah berkata, AGM tersebut tidak jauh beza dengan prosiding Lembaga Tatatertib kerana dibuat di ‘belakang pintu yang tertutup’.

“Perbezaan prosiding dijalankan oleh BC ialah ia adalah salah manakala prosiding oleh Lembaga Tatatertib mengikut peruntukan undang-undang. Apa yang Tommy Thomas dan VC George buat adalah ketepikan peruntukan mandatori Seksyen 99(1) LPA. Ini adalah satu perkara sukar difahami apabila dilakukan oleh ahli Majlis yang senior,” kata hakim itu.

Berdasarkan jawapan diberi sewaktu perbicaraan kes tersebut, jelas menunjukkan bahawa Thomas dan George berpendapat, Muhammad Shafee telah melanggar peraturan dan mereka berusaha agar BC bersependapat dengan mereka.

“Jika dilihat sudut ini, Muhammad Shafee boleh sahaja menyatakan bahawa Tommy Thomas dan Tan Sri VC George terlibat secara langsung bagi menyebabkan Majlis Peguam melanggar aturan Seksyen 99(1) LPS 1976,” kata hakim itu.

Tambah Hakim Abdul Rahman, tindakan BC yang mempunyai pengetahuan tentang prosedur bagi menangani aduan tetapi tetap benarkan usul itu dikemukakan Thomas dan George untuk dibentangkan dan diputuskan pada AGM tersebut bukanlah sesuatu perkara yang wajar dilakukan.

Leave a Reply