Noraniza Idris Mahu Tubuh Persatuan Lagu Irama Malaysia

Hebahkan !!!


BIARPUN
 berdepan pelbagai cabaran dan dugaan dalam usaha untuk terus memperjuangkan lagu irama Malaysia, semangat Noraniza Idris tidak pernah luntur.

Sering berlawan arus dengan permintaan penaja yang lebih bersifat komersil, Noraniza, 53, mengakui tidak mudah untuk terus kekal mengetengahkan muzik yang bukan menjadi minat generasi masa kini.

Bagaimanapun, setelah pandemik Covid-19 semakin reda dan industri muzik kembali aktif, penyanyi lagu Dikir Puteri itu bersemangat semula meneruskan misi memperjuangkan lagu-lagu Irama Malaysia.

“Saya kembali bersemangat dan mula fokus dengan perjuangan asal untuk membangkitkan semula Irama Malaysia dengan lebih agresif menjelang tahun 2022.

“Lagu Intan Payung yang menyaksikan kolaboratif pertama saya dengan penyanyi muda, Bunga, menjadi langkah awal pada tahun ini untuk memeriahkan kembali Irama Malaysia.

“Biarpun dalam situasi pandemik, saya bersyukur apabila lagu itu membuka laluan kepada muzik Irama Malaysia berada sebelah kaki dalam industri muzik masa kini, malah berjaya meraih enam juta tontonan di saluaran YouTube semenjak dilancarkan,” ujar nya

Melihatkan perkembangan positif itu, Noraniza yang sinonim dengan gelaran Ratu Irama Malaysia, kini dalam proses menyiapkan sebuah lagi single Irama Malaysia bersama Luncai Emas.

“Proses perbincangan awal dengan Luca Sickta telah diadakan. Jika semuanya berjalan lancar, single baharu itu akan dilancarkan pada Disember depan.

“Kali ini saya akan berganding dengan seorang penyanyi lelaki baharu,” katanya yang menyasarkan lima penerbitan baharu lagu-lagu Irama Malaysia pada tahun hadapan.

Tubuh persatuan

Berkongsi impian lebih besar, Noraniza juga berhasrat untuk menggabungkan artis Irama Malaysia di bawah satu pertubuhan.

“Seiring dengan usaha mengangkat semula lagu Irama Malaysia secara lebih agresif, saya kini sedang menghimpunkan penyanyi daripada genre ini untuk bergerak di bawah pertubuhan.

“Sekarang ia sedang dalam proses pendaftaran dan masih menunggu kelulusan. Hasrat saya untuk menjadikan pertubuhan ini sebagai pengorak langkah kepada pembangunan hak cipta penerbitan lagu-lagu Irama Malaysia.

“Dalam masa sama dapat membantu artis Irama Malaysia baharu dan lama untuk bangkit semula menerbitkan lebih banyak karya baharu sebagai produk khazanah yang boleh dijadikan rujukan generasi akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noraniza menerusi syarikat produksi miliknya, Noraniza Idris Production Ventures (NIPV) baru sahaja memeterai perjanjian persefahaman (MOU) bersama C2Joy (M) Sdn Bhd sebagai rakan strategik.

“NIPV baru sahaja menandatangani MOU bersama C2Joy untuk tempoh 12 bulan bermula 11 Oktober 2021 sehingga 10 Oktober 2022 secara rasmi.

“Peranan C2Joy adalah sebagai rakan strategik yang akan bersama saya menganjurkan acara-acara tanggung jawab sosial korporat (CSR) dan kemasyarakatan bagi membangunkan generasi pelapis seawal usia lima tahun sehingga tanpa had usia,” jelasnya.

Leave a Reply