Sasar 5,000 CCTV dipasang hingga akhir tahun

Hebahkan !!!

IDIHAYS.SB


PEMASANGAN CCTV di lokasi strategik dapat tingkatkan kecekapan pemantauan

SEJUMLAH 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) disasarkan dipasang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan strategik menjelang hujung tahun ini.

Pemasangan tersebut bertujuan memantau keadaan aliran trafik dan aset miliknya di sekitar ibu kota sentiasa terkawal serta terjamin selamat, demikian jelas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, pemasangannya terbahagi kepada dua fasa, bermula dengan kira-kira 3,000 unit CCTV dipasang bagi fasa pertama bertujuan memantau dan mengawal trafik, taman rekreasi serta pasar awam di sekitar ibu negara.

“Bagi fasa kedua, sebanyak 2,000 CCTV lagi dipasang untuk kegunaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKL khusus memantau jenayah, dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini,” katanya ketika berucap dalam majlis Penjenamaan Semula iTIS, hari ini.

Pusat Pengurusan Pengangkutan atau iTIS kini dikenali Kuala Lumpur Control & Command Centre (KLCCC) selari fungsi dan peranannya berkembang dan menyeluruh.

PUSAT operasi KLCCC di Bukit Jalil

Sementara itu, Shahidan menjelaskan, unit CCTV dipasang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka dapat membantu DBKL untuk memantau situasi di luar jangkaan.

Selain itu katanya, ia boleh digunakan untuk memantau kerosakan jalan dan lampu jalan serta meneliti roadmarking yang pudar selain berupaya mengesan kesalahan trafik yang menjadi sebab kesesakan dan memantau pokok tumbang.

“Kelebihan teknologi ini juga berupaya mengesan kejadian atau situasi dalam waktu sebenar seperti jalan berlubang, tumpahan simen dari lori serta penjaja haram di bahu jalan, hanya melalui mesej notifikasi peristiwa tersebut.

“Ia amat membantu DBKL dalam melaksana kerja-kerja pemantauan, penguatkuasaan dan pencegahan telah terbukti kurangkan penggunaan bajet senggaraan pencegahan oleh DBKL,” katanya.

Leave a Reply