200 pemuda ‘serbu’, mahu ambil alih kuil, kata saksi

Hebahkan !!!

a group of people standing around a fire: Saksi pendakwaan, M Nagaraju berkata kumpulan yang menyerbu Kuil Sri Maha Mariamman pada awal pagi 26 Nov 2018 mengancam penganut dan mengarahkan mereka meninggalkan premis itu.© Provided by Free Malaysia Today Saksi pendakwaan, M Nagaraju berkata kumpulan yang menyerbu Kuil Sri Maha Mariamman pada awal pagi 26 Nov 2018 mengancam penganut dan mengarahkan mereka meninggalkan premis itu.PETALING JAYA: Mahkamah Majistret diberitahu, kira-kira 200 pemuda, kebanyakannya bersenjatakan kayu, telah menceroboh Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada jam 2 pagi 26 Nov 2018 untuk mengambil alih premis itu.

M Nagaraju yang mengetuai kumpulan dalam jawatankuasa kuil berkenaan berkata, kejadian itu mengakibatkan kerosakan lebih 200 kerusi plastik, cermin tingkap di dewan kuil, selain tiga kenderaan di dalam pekarangan premis berkenaan.

Saksi ke-10 pendakwaan dalam perbicaraan terhadap 17 lelaki yang didakwa merusuh itu berkata, kumpulan pemuda berkenaan masuk ke premis itu dari bahagian belakang kuil dan menghalau penganut dari situ bagi mengambil alih lokasi berkenaan untuk satu syarikat pemaju.

“Terdapat kira-kira 20 orang termasuk saya dalam kuil itu, dan mereka mengugut kami serta mengarahkan kami mengosongkan tempat itu,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi.

M Nagaraju.\Nagaraju, 66, berkata, beliau menasihati penganut di situ meninggalkan lokasi berkenaan tanpa membantah kerana tidak mahu sesiapa dicederakan.

Bagaimanapun sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa dua lelaki yang dipercayai mewakili pemaju, One City Sdn Bhd, mengarahkan beberapa pemuda itu menahan enam penganut.

“Kami telah diiringi ke dewan kuil dan ditahan di situ,” katanya.

Menurutnya, polis tiba di lokasi itu sekitar jam 4 pagi dan menahan 17 lelaki, manakala selebihnya anggota kumpulan itu berjaya melarikan diri.

Nagaraju berkata, beliau berada di dapur kuil pada jam 12.30 pagi bersama beberapa individu lain kerana sedang memasak untuk kumpulan penganut yang sepatutnya datang kemudian sempena festival Ayyappan.

Katanya, wakil kuil juga sepatutnya mengadakan perbincangan bersama pemaju untuk meminta dibenarkan kekal di lokasi itu buat sementara sebelum berpindah.

Nagaraju berkata, beliau tidak mengenali kumpulan yang datang pada pagi itu kerana mereka terlalu ramai dan kejadian berlaku tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau dapat mengenal pasti seorang tertuduh, Muhammad Saifullah Abdullah, apabila Majistret Muhammad Iskandar Zainol mengarahkan mereka membuka pelitup muka.

“Beliau bersama dua pemuda lain ketika kami berenam ditahan di dewan itu. Saya bertanya apa yang mereka sedang lakukan dan dia menjawab mereka telah dibayar untuk memasuki kuil,” kata Nagaraju.

Ketika disoal balas peguam bela Mohd Hezri Shaharil, Nagaraju berkata beliau tidak pasti sama ada orang India dan Cina termasuk dalam kumpulan 200 pemuda itu.

Menjawab soalan peguam bela R Kirthiraj yang mewakili Saifullah pula, Nagaraju menafikan tertuduh itu diletakkan di situ untuk melindungi mereka yang ditahan di dalam dewan.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam, Azlan Abd Roni, bahawa pemilik tanah telah beberapa kali cuba memindahkan kuil itu.

Selain Saifullah, 16 tertuduh lain adalah Muhammad Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Mohamad Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Muhammad Qayyum Mohd Faisal, Mohd Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Mohamed Jalil Talib, Muhammad Khairol Anuar Zabidi, Mohd Zamri Md Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Mohammad Shahril Danniel Sajeel, Muhammad Saifullah Abdullah, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin.

Mereka yang berusia antara 23 hingga 46 tahun itu didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara jam 2 hingga 5 pagi, 26 Nov.

Kumpulan itu didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 20 Dis.

Leave a Reply