SACFS tuntut penjelasan kerajaan Selangor

Hebahkan !!!

 

PERSATUAN Rimba Komuniti Shah Alam (SACFS) menuntut penjelasan Kerajaan Negeri Selangor berhubung status nyahwarta kawasan-kawasan hutan di Seksyen 10 di sini, yang didakwa meragukan.

Jurucakap SACFS, Teckwyn Lim berkata, pihaknya telah membaca kenyataan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian berhubung isu nyahwarta hutan merujuk peta warta PW1443 sebagai bukti penyahwartaan.

Katanya, setakat yang mereka fahami dan tahu dari segi undang-undang perhutanan (peta warta PW1443) bukan bukti kawasan-kawasan hutan di Seksyen U10 Shah Alam yang dipersoalkan.

“Kami juga telah membuat carian warta penyahwartaan kawasan hutan tersebut dan kami tidak menemukan sebarang maklumat mengesahkan penyahwartaan berkenaan pernah dilakukan,” katanya selepas menghantar Permohonan Temujanji Penjelasan Berkenaan Status Nyahwarta Kawasan-Kawasan Hutan di Seksyen U10 di Bangunan SUK.

Media pada 24 September lalu laporkan keluasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) berkurangan kepada kira-kira 1,298.86 hektar sejak kali pertama diwartakan sebagai hutan simpan pada 1909 yang ketika itu seluas kira-kira 9,642 hektar.

Antara faktor pengurangan keluasan itu disumbang oleh beberapa pembangunan sejak 1976 termasuk Alam Budiman, Bandar Puncak Alam dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Selangor.

Bagaimanapun, Loy Sian memaklumkan, Kerajaan Selangor kini komited mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang ingin dinyahwarta.

Terdahulu media turut melaporkan HSKBC sudah dinyahwarta sebanyak 21 kali sejak 96 tahun dahulu bagi tujuan pembangunan komersial, perumahan, jalan raya serta institusi pengajian.

Justeru, HSKBC menjadi perhatian apabila terdapat dakwaan daripada SACF apabila Teckwyn memaklumkan terdapat kira-kira 202.34 hektar hutan dalam kawasan HSK sedang dibersihkan.

Namun, hal itu dinafikan Loy Sian yang memaklumkan, pembersihan kawasan berkenaan berlaku di luar kawasan hutan simpan dan nyahwartanya diberikan kepada syarikat pemilik pada tahun 2000.

Mengulas lanjut Teckwyn berkata, pihaknya menuntut agar Notis Pemberhentian Kerja dikeluarkan oleh pihak berkuasa di kawasan yang didakwa telah dinyahwartakan oleh kerajaan negeri tersebut.

“Sehubungan dengan itu kami menuntut pertemuan meja bulat diadakan dengan pihak exco bagi mengesahkan status nyahwarta hutan simpan yang dinyatakan beliau pada tarikh 24 September lalu,”katanya.

Leave a Reply